Apple Didakwa Tuntut Yuran Secara Haram Melalui Apple Pay

Apple Pay dilaporkan menjadi sasaran tuntutan saman kerana Apple didakwa memonopoli secara haram ke atas pembayaran tanpa sentuh pada iPhone, membenarkannya memaksa pengeluar kad membayar yuran.

Saman ini dimulakan oleh Affinity Credit Union yang berpangkalan di Iowa, yang mengeluarkan kad debit dan kredit yang serasi dengan Apple Pay.

Peguam syarikat itu berharap untuk menjadikannya sebagai kes tindakan satu pihak (class-action) supaya pengeluar kad lain boleh menyertai tuntutan mahkamah.

Aduan itu, yang difailkan oleh firma guaman Hagens Berman dan Sperling & Slater, mendakwa bahawa Apple secara haram mengaut keuntungan sekurang-kurangnya $1 bilion (~RM4.4 bilion) setiap tahun dengan menyekat saingan daripada mengakses teknologi NFC pada perantinya, sekaligus menghalang perkhidmatan pesaing seperti Google Pay atau Samsung Pay daripada menawarkan pembayaran tap-to-pay pada peranti Apple.

Apple juga didakwa bahawa bagi setiap transaksi Apple Pay yang dilengkapkan dengan kad pembayaran pengeluar Amerika Syarikat, pengeluar mesti membayar Apple sebanyak 0.15% untuk kad kredit dan setengah sen untuk kad debit.

Berbeza dengan pesaing, Google membenarkan berbilang dompet mudah alih pada telefon pintar Android dan tidak mengutip yuran daripada pengeluar kad untuk fungsi pembayaran yang sama.

Menurut tuntutan ini, tujuannya adalah untuk menukar dasar Apple yang memaksa semua pembayaran tanpa sentuh melalui Apple Pay, dan untuk membuat syarikat membayar balik kepada pengeluar kad untuk yuran yang dituntut secara haram.

Sumber: BBC