Apple Diarah Tarik Balik Produk iPhone Dari Kedai Di Jerman

Pada bulan lepas, kami ada melaporkan mengenai permohonan Qualcomm untuk mengharamkan penjualan model iPhone 2018 di China kerana mendakwa Apple menggunakan paten teknologi modem mereka tanpa kebenaran.

Terbaru, Apple turut diarahkan untuk menarik semula model iPhone 7 dan iPhone 8 daripada kedai-kedai di Jerman selepas mahkamah di Munich memutuskan bahawa mereka telah melanggar paten teknologi penjimatan Qualcomm.

Bagaimanapun, model-model terkini Apple iaitu iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR masih lagi boleh dipasarkan di negara berkenaan.

Kapsyen: AppleInsider


Syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat itu telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat rayuan mengenai keputusan berkenaan kerana yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, Qualcomm diarahkan untuk membayar bon berjumlah RM 6.28 billion(£1.2 billion) bagi membolehkan sekatan terhadap dua model iPhone itu diteruskan.

Ini kerana, menurut undang-undang di Jerman, pihak pendakwa perlu membayar sejumlah bon sebagai "jaminan" untuk membayar balik kerugian yang akan ditanggung oleh pihak yang didakwa sekiranya rayuan tertuduh berjaya.

 

Sumber: BBC    CNet