Apple Berselindung Disebalik Kamera iPhone 11 Bagi Menutup Kekurangan Inovasi iPhone

Inovasi Apple terhadap iPhone tidak lagi sepertimana dahulu.


Apple telah pun melancarkan model terbaru iPhone 2019 menerusi 3 model iaitu iPhone 11, iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max. Seperti biasa, Apple menyatakan ia sebagai sebuah iPhone paling berkuasa yang pernah mereka hasilkan untuk pengguna.

Ia adalah ulangan skrip yang sama setiap tahun apabila mereka memperkenalkan sesebuah produk terbaru mereka kepada umum.

Kapsyen: Kamera hadapan iPhone 11 dipertingkatkan keupayaan yang kini menyokong rakaman video 4K 60fps.


Walaubagaimanapun, tidak sepertimana ketika model-model awal iPhone terdahulu yang banyak dilakukan inovasi oleh Apple terhadap iPhone, ia kini tidak lagi berlaku pada model-model iPhone sejak kebelakangan ini.

Apple kini lebih menumpukan kepada 2 komponen utama iPhone sahaja khususnya cip pemprosesan dan meningkatkan keupayaan kamera iPhone setiap tahun.

Manakala reka bentuk iPhone pula dikekalkan dari legasi model terdahulu. Lihat saja model iPhone 2019. Ia masih menggunakan rekaan asal dengan rekaan skrin takuk yang pertama kali diperkenalkan pada 2017 dahulu pada model iPhone X.

Kapsyen: Apple Bionic adalah cip pemprosesan paling berkuasa yang pernah dimuatkan pada sesebuah telefon pintar. Eksklusif hanya digunakan oleh iPhone sahaja.


Sungguhpun memang tidak dapat dinafikan tentang kehebatan cip pemprosesan Apple Bionic yang sangat berkuasa, jauh mengatasi cip yang menguasakan peranti Android serta keupayaan kamera yang menakjubkan, tetapi perkembangan serupa saban tahun yang diulang-ulang adalah amat mengecewakan.

Walhal pengeluar telefon pintar lain terutamanya firma-firma dari China telah berlumba-lumba menjadikan telefon pintar mereka  lebih baik bukan sahaja dari segi ciri perisian tetapi juga menerusi rekaan yang lebih moden, perkakasan dalaman yang ditambah baik dan tidak kedekut memuatkan perkakasan berkuasa kepada produk mereka.

Tidak mahu mengulas panjang kerana para peminat telefon pintar lebih tahu dengan apa yang cuba penulis maksudkan di sini.

Telefon pintar lain telah pun hadir dengan pelbagai ciri moden seperti sokongan 5G, kapasiti bateri besar dan keupayaan kamera yang mampu menyaingi iPhone. Malah ditawarkan pada harga yang jauh lebih mesra pengguna.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, Apple sebenarnya mampu membuat lebih baik dari apa yang mereka lakukan sekarang terhadap iPhone. Tetapi mereka terus kekal kedekut dengan inovasi dan menjadikan iPhone bahan ketawa pengguna.

Kapsyen: Sekadar mewujudkan perkataan baru belum cukup Apple.