Apple Bekerjasama Dengan Goldman Sachs Hasilkan Kad Kredit Apple Card

Seperti tahun-tahun yang sudah, Apple kebiasaannya mengadakan 3 atau 4 acara dalam setahun bagi pengenalan perkhidmatan atau peranti mereka.

Satu acara sekitar Mac, Worldwide Developers Conference pada Jun, acara memperkenalkan iPhone dan Apple Watch pada September dan kadang-kala bulan Oktober untuk mengumumkan model iPad atau Mac.

Acara pertama sudahpun berlangsung lewat malam tadi dengan sejumlah perkhidmatan mula diperkenalkan.

Antaranya adalah kad kredit "Apple Card" yang merupakan kerjasama antara pengeluar dari Cupertino itu bersama firma Goldman Sachs.

Untuk menggunakannya, pengguna perlulah mendaftar terlebih dahulu menerusi Aplikasi Apple Wallet yang tersedia pada iPhone mereka.



Menerusinya, pengguna boleh menikmati ciri-ciri transaksi seperti memantau pembelian, dan semak baki terus dari aplikasi. Bukan itu sahaja, Apple turut memperkenalkan kad kredit fizikal yang cukup minimalis. Ia tidak memaparkan sebarang nombor kad kredit, nombor CVV, tarikh luput, atau tandatangan, dimana kesemua informasi terkandung didalam aplikasi Apple Wallet.



Dari segi ganjaran untuk pengguna pula, Apple menyediakan pulangan balik 2% bagi pembelian menggunakan Apple Card melalui Apple Pay, sementara pembelian dari Apple Store, pulangan balik wang adalah 3%.

Bagi pembelian menerusi kad fizikal pula hanya mendapat 1% pulangan balik.



Bagi perkhidmatan baru ini, Apple menjanjikan tiada caj bayaran lewat, caj yuran tahunan, caj urusniaga asing. Mereka juga turut menekankan privasi dimana apa yang pengguna beli, dimana lokasi pembeli, berapa jumlah bayaran dibuat tidak akan diketahui syarikat itu. Kesemua informasi disimpan didalam peranti dan bukannya di server Apple.

Ia ditawarkan untuk pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan masih belum dapat dipastikan bilakah ia akan dikembangkan untuk negara lain.