Apple sebelum ini dijangka akan membawa masuk iPad Pro dengan mini-LED pada pertengahan pertama 2021 bersama-sama AirPods baharu.
Menurut laporan The Elec, Apple merancang untuk menggunakan paparan OLED pada iPad Pro yang baharu tahun hadapan tetapi selepas versi mini-LED dilancarkan.
Banyak ura-ura mengatakan paparan mini-LED pada iPad 12.9 inci akan tiba pada Mac 2021. Mungkin Apple akan perkenalkan peranti ini dengan panel LCD dahulu sebelum berhijrah sepenuhnya kepada OLED.
Samsung dan LG kini sebenarnya telah membekalkan panel OLED kepada Apple untuk barisan iPhone dan mereka sedang membangunkan untuk pasaran tablet pula.
Paparan mini-LED dan OLED berkongsi ciri yang seakan sama berbanding LCD biasa dimana ia menawarkan kecerahan yang tinggi, kontras yang baik serta lebih cekap tenaga.
Apple sudah pun menggunakan paparan OLED sepenuhnya melalui barisan iPhone yang baharu iaitu iPhone 12 dan mungkin mereka akan buat perkara yang sama pada peranti iPad.
Dalam pada itu, menurut Strategy Analytics, pasaran tablet daripada Samsung dan Apple telah meningkat sebanyak 87% dan 49% masing-masing tahun ini berbanding tahun lepas.
Ini mungkin disebabkan pandemik global COVID-19 yang masih berlaku dan memaksa untuk orang ramai bekerja dari rumah. Tablet dikatakan lebih mudah untuk digunakan berbanding komputer riba.
Sumber: The Elec