Apple Akan Berhenti Menyokong Aplikasi 32-bit Tidak Lama Lagi

Apple Inc dijangka akan mula menghantar pemberitahuan kepada pengguna MacOS berkenaan keputusan mereka untuk tidak lagi menyokong aplikasi 32-bit tidak lama lagi. Pengguna MacOS akan mula menerima peringatan tersebut pada hari ini jika mereka membuka aplikasi yang hanya menyokong 32-bit pada MacOS High Sierra.



Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil daripada Apple kepada Ars Technica. Aplikasi yang menggunakan 64-bit akan membantu sistem operasi untuk berjalan dengan lebih lancar dan pantas pada peranti Mac yang disokong oleh pemproses 64-bit. Perkara ini menjadi sebab mengapa pihak Apple mahu semua pembangun aplikasi Mac menggunakan 64-bit pada aplikasi mereka pada masa akan datang.

Walaubagaimanapun, proses peralihan ini masih lagi dalam fasa pembangunan, jadi para pengguna aplikasi 32-bit masih lagi boleh menggunakan aplikasi kegemaran mereka pada Mac sehingga satu tarikh yang masih belum dapat ditetapkan. Namun, semasa Worldwide Developers Conference 2017, pihak Apple telah menyatakan bahawa High Sierra akan menjadi versi MacOS terakhir yang menyokong aplikasi 32-bit.



Para pengguna peranti Mac dinasihatkan oleh pihak Apple untuk menghubungi pemaju aplikasi yang digunakan oleh mereka untuk mengenalpasti kemaskini aplikasi tersebut bagi versi 64-bit. Cara paling mudah untuk melakukannya adalah dengan melayari laman sesawang pemaju aplikasi-aplikasi tersebut. Pihak Apple turut memberi jaminan aplikasi 32-bit akan dapat digunakan tanpa sebarang masalah sehingga beberapa bulan akan datang.

Sumber