Apple Ada Perancangan Untuk Buang Rekaan Takuk

Rekaan takuk pada skrin sudah menjadi perbualan hangat ketika iPhone X dilancarkan pada 2017. Walaupun bukan yang pertama hadir dengan rekaan takuk pada skrin, tetapi Apple boleh dikira sebagai pencetus untuk lebih banyak model yang lain mengikuti rupa bentuk seperti itu.

Perkara normal bila mana ada pengguna yang tidak suka dan ada yang tidak kisah. Perkembangan terbaru, Patently Apple melaporkan syarikat yang berpangkalan di Cupertino itu mempunyai rancangan untuk membuang rekaan tersebut dari iPhone generasi hadapan.

Perkara itu dilihat berdasarkan rekaan pada paten milik Apple yang diterbitkan oleh Pejabat Paten & Tanda dagang Amerika Syarikat. Melalui gambarajah pada paten, ia memperlihatkan sensor-sensor yang biasanya berada di takuk diletakkan disebalik paparan.


...a portion of the device's display surface does not have to be reserved for the optical sensor, and in some cases the size of the device's display may be increased...

Ini dapat memberikan paparan lebih luas tanpa sebarang gangguan dan berkemungkinan terdapat saiz paparan yang lebih besar daripada apa yang sedia kita lihat ketika ini.

Perkara ini bukanlah asing bagi penggemar peranti mudah alih kerana pengeluar lain seperti Xiaomi, OPPO dan Huawei sedia memperlihatkan ciri itu sebelum ini.

Menurut Patently Apple, paten Apple yang diterbitkan itu sudah difailkan sejak dari Disember tahun lalu lagi. Masih belum tahu lagi bilakah ia akan dikomersialkan atapun ia hanya akan kekal sebagai paten sahaja.

Sumber: Patently Apple