Aplikasi VPN Dan Sekatan Iklan Ini Secara Rahsia Mengumpul Data Pengguna iOS Dan Android

Sensor Tower, iaitu platform analisis yang mengagregatkan data pada muat turun dan penggunaan aplikasi untuk pemaju, secara rahsia telah mengumpul data dari jutaan pengguna Android dan iOS yang memasang aplikasi VPN dan sekatan iklan.

Aplikasi ini, yang sebenarnya dimiliki oleh Sensor Tower, tidak mendedahkan bahawa mereka memberikan data pengguna kepada platform analisis Sensor Tower. Pengguna iOS dan Android telah memuat turun aplikasi tersebut lebih daripada 35 juta kali.

Aplikasi VPN

Sejak 2015, Sensor Tower telah memiliki sekurangnya 20 aplikasi Android dan iOS. Aplikasi tersebut termasuk Free and Unlimited VPN, Luna VPN, Mobile Data, dan Adblock Focus. Selepas dihubungi BuzzFeed News, Apple telah mengeluarkan Adblock Focus dari App Store, manakala Google mengeluarkan Mobile Data dari platform muat turunnya.

Apabila dipasang, aplikasi ini direka untuk meminta pengguna memasang root certificate, iaitu fail kecil yang membolehkan akses kepada semua lalu lintas dan data yang melalui peranti anda. Menurut Sensor Tower, mereka hanya mengumpul data penggunaan dan analisis anonymized untuk mengenalpasti populariti, tren penggunaan dan pendapatan aplikasi. Pemilik aplikasi tidak didedahkan kerana "competitive reasons".

Dalam pada itu, jurucakap Apple mengesahkan beberapa aplikasi Sensor Tower telah dikeluarkan dari Apple Store sebelum ini kerana melanggar polisi. Apple dan Google akan terus menyiasat aplikasi Sensor Tower.

Bagi pengguna iOS dan Android, anda dinasihatkan untuk berhati-hati memuat turun dan memasang aplikasi VPN dan sekatan iklan dari pembangun yang tidak dikenali, dan perlu mengelakkan aplikasi yang meminta untuk memasang root certificate.

Sumber: MacRumors via BuzzFeed News