Aplikasi Pelancongan 'Melaka eXcess' Salah Satu Usaha Majukan Industri Pelancongan Melaka

Pada bulan Mac ini, Melaka bandaraya bersejarah akan melancarkan satu aplikasi pelancongan yang dipanggil 'Melaka eXcess'. Aplikasi rasmi negeri ini adalah salah satu usaha yang dibuat bagi memacu industri pelancongan ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

Aplikasi tersebut akan menyediakan maklumat lengkap mengenai destinasi pelancongan, tempat makanan menarik, kedai cenderahati, promosi dan diskaun. Ia ditawarkan bagi menarik minat kedatangan pelancong dan memudahkan akses mereka sepanjang berada di negeri ini.

Selain itu, aplikasi yang dibangunkan ini juga bekerjasama bersama syarikat swasta, Pilihan Lampiran Swasta Sdn Bhd. Ia turut berfungsi sebagai e-dompet, sistem navigasi serta ulasan pengguna berkaitan industri pelancongan Melaka.

Aplikasi ini akan menghimpunkan pemain industri pelancongan negeri dalam pelbagai sektor termasuk agensi pelancongan dan usahawan. Dengan aplikasi ini mereka dapat menawarkan perkhidmatan, produk atau pakej pelancongan mereka.

Buat masa ini, 'Melaka eXcess' berada di peringkat akhir dalam pembangunan. Pendaftaran juga masih dibuka bagi pemain industri yang menginginkan perniagaan mereka berada dalam aplikasi tersebut.

Sumber : Bernama