Aplikasi PDRM Palsu Dikenal Pasti, Berupaya Lakukan Transaksi Bank Tanpa Persetujuan Mangsa

Penipuan menggunakan telefon pintar dilihat semakin berleluasa. Sebelum ini, negara telah kecoh mengenai penipuan menggunakan panggilan telefon yang dipanggil Macau Scam, dan terbaru satu lagi taktik berjaya dibongkar oleh MyCERT.

MyCERT merupakan perkhidmatan awam yang menyediakan respons kecemasan berkaitan keselamatan komputer dan seumpamanya. Agensi itu menjelaskan bahawa taktik digunakan hampir serupa dengan kes-kes terdahulu tetapi kali ini, ia melibatkan penggunaan aplikasi PDRM palsu.

Penipu membuat panggilan kepada mangsa dengan menyamar sebagai pihak berkuasa. Mangsa akan dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dalam masa yang sama diugut untuk ditahan.

Selepas itu, mangsa dipaksa untuk memuat turun dan memasang aplikasi perisian hasad  yang dihantar melalui pautan SMS. Ia memperdaya mangsa dengan memaparkan logo PDRM pada aplikasi berkenaan.



Setelah dipasang, aplikasi PDRM palsu itu akan menggantikan sistem SMS sedia ada dan ia berupaya membaca setiap pesanan teks yang dihantar dan diterima telefon mangsa.

Melaluinya, pihak tidak bertanggungjawab itu dapat membaca kod TAC untuk digunakan sebagai pengesahan transaksi perbankan dalam talian tanpa persetujuan mangsa. Sejumlah aduan telahpun diterima MyCERT dari institusi kewangan mengenai perkara ini.

Jadi bagi anda diluar sana, sila berhati-hati sekiranya menerima panggilan yang mendakwa mereka adalah pihak berkuasa dan jangan sesekali memasang aplikasi yang tidak diketahui kesahihannya.

Anda boleh ikuti tips ini untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon.

Sumber: MyCERT via Lowyat.net