Memetik berita dari Utusan Online, satu teknologi serta sistem mudah alih untuk membantu sakit belakang telah dibangunkan oleh Pusat Inovasi Kejuruteraan Perubatan (CIME) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), dengan kerjasama Fakulti Perubatan. Ia telah mula dibangunkan seawal tahun 2013 yang lalu dan sistem tersebut dilengkapi dengan komponen penderia isyarat otot (electromyography atau EMG). Komponen tersebut akan diletakkan di kulit pesakit berhampiran dengan otot erector spinae. Erector spinae merupakan sekelompok otot yang berada dekat dengan tulang belakang anda. Ia berfungsi untuk menegakkan serta membantu bahagian belakang badan untuk berpusing. Isyarat elektrik digunakan untuk memantau keadaan pesakit yang sedang menjalani rawatan pemulihan melalui senaman fizikal.
Menurut Utusan Online lagi, Ketua penyelidik CIME, Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim berkata, penderia yang diletakkan di kawasan kulit bahagian belakang badan akan mengesan isyarat EMG dan seterusnya menghantar isyarat tersebut ke unit pemancar yang dibina khas. Pemancar tersebut merupakan alat mudah alih yang boleh dilekatkan diseluar atau hanya dimasukkan di dalam poket pesakit sahaja. Selepas itu, pemancar tersebut akan berkomunikasi dengan telefon pintar Android menerusi sambungan Bluetooth. Segala maklumat hasil dari rawatan yang dilakukan pesakit akan dipaparkan pada aplikasi yang dibangunkan untuk telefon pintar. Menurut beliau lagi, sistem itu sangat membantu pihak hospital untuk mengetahui lebih lanjut keadaan pesakit lebih-lebih lagi golongan yang berusia.
Ujian keberkesanan untuk sistem ini telah dijalankan oleh pakar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dijangka ia akan dipasarkan dengan harga tidak lebih dari ~RM1000 tetapi sistem tersebut masih menunggu kelulusan pihak berwajib sebelum boleh mula dipasarkan.
Sumber: Utusan Online
Berkaitan
- Facebook Hentikan Aplikasi Groups Awal September Depan
- Google Chrome Tambah Fungsi Mengesan Kata Laluan Yang Sudah Terdedah Dan Tidak Selamat
- Sony Lancar TV 4K
- OnePlus 5T Edisi Star Wars Mula Dijual Dipasaran Tempatan
- Lagi Kelemahan Dikesan Pada Windows 10
- CCleaner Digodam, Dikhuatiri Memberi Kesan Kepada Lebih 2 Juta Pengguna
- Terengganu Bakal Sediakan Bazar Ramadhan Online
- Instagram Uji Ciri Sentuhan Untuk Melayari Perkongsian Kenalan
- Pengguna Unifi Mengadu Pelayan Ubisoft Gagal Diakses, Ini Penjelasan Daripada Unifi
- Instagram Bakal Uji Ciri Pemberitahuan Bila Berlaku Masalah Teknikal