Aplikasi Kik Melancarkan Platform Mata Wang Digital

Kik Interactive, syarikat yang memperkenalkan aplikasi pemesejan Kik semalam telah melancarkan mata wang- kripto atau token yang digelarkan sebagai Kin. Melalui Kin, pengguna dapat membeli dan membuat pembayaran secara digital.

Kik merupakan aplikasi pemesejan percuma, mula diperkenalkan pada 2009, memfokuskan pada golongan remaja dengan 300 juta pengguna berdaftar. Ianya dilihat seakan-akan WhatsApp, tetapi mempunyai beberapa ciri berlainan seperti panggilan video secara berkumpulan.



Token Kin ini dicipta menggunakan Ethereum Blockchain, iaitu satu lagi lejar awam seperti BitCoin, matawang digital pertama. Penjualan token tersebut dijadualkan akan mula dijual dalam masa terdekat tahun ini, kata Ted Livingston, pengasas Kik menerusi satu temuramah dengan Reuters.

Beliau juga memberitahu Kik merupakan platform pemesejan yang pertama mengetengahkan mata wang mereka yang tersendiri.

Ted Livingston memberitahu lagi, 10% daripada token tersebut akan dijual pada pelabur menerusi satu skim 'initial coin offering', dijalankan oleh syarikat blockchain lain sebagai penglibatan mereka mewujudkan aset digital dan menjualnya kepada orang ramai.

Blockchain muncul sebagai asas perisian BitCoin dan dikekalkan oleh rangkaian komputer di internet. Ianya mendapat perhatian global kerana keupayaan teknologinya yang mampu merakam dan mengesan pergerakan aset.

Kin token digunakan untuk memudahkan semua jenis perkhidmatan, pada mulanya dalam platform Kik, dan akhirnya berkembang kepada perkhidmatan digital lain, kata Livingston.

Dengan mengintegrasikan Kin ke Kik, mata wang ini akan menjadi matawang-kripto paling banyak digunakan berdasarkan jutaan pengguna berdaftar, katanya lagi. Kik juga akan menyediakan ciri ganjaran yang bertujuan untuk mempromosikan mata wang mereka.

Sumber

 

 

Berkaitan