SKMM Menamatkan Perkhidmatan Aplikasi Gerak Malaysia

Ditamatkan Pada 31 Julai 2020 lalu.


Masih ingat lagi dengan aplikasi Gerak Malaysia yang dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Untuk makluman semua, aplikasi mudah alih yang bertindak sebagai aplikasi pengesanan dan penyimpanan rekod pergerakan yang terperinci bagi mengesan kontak rapat kes COVID-19 dan juga membolehkan permohonan permit perjalanan rentas sempadan negeri ketika PKP itu telah pun ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Julai 2020 lalu.

Penamatan aplikasi tersebut dibuat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun 2020 menunjukkan tiada lagi keperluan permit rentas sempadan negeri.

Sehubungan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan bahawa penggunaan aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi diperlukan.

Jadi, pengguna telefon pintar dinasihatkan membuang aplikasi tersebut dari peranti mereka kerana ia tidak lagi mempunyai fungsi aktif selepas tarikh tersebut.

Berkaitan data peribadi pula, pengguna tidak perlu bimbang kerana SKMM memaklumkan bahawa semua data peribadi pengguna aplikasi tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rekod pergerakan pengguna berkaitan aplikasi Gerak Malaysia yang disimpan akan dilupuskan.

SKMM juga menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia yang kini digunakan untuk memperkasa penduduk Malaysia untuk melakukan penilaian kendiri, mendapat maklumat terkini tentang COVID-19, mengetahui kawasan-kawasan berisiko, mendaftar diri sebelum memasuki sesuatu premis dan lain-lain lagi.

Aplikasi Gerak Malaysia sudah tidak lagi ditawarkan di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery.