Aplikasi Gerak Tidak Mendapat Perakuan Majlis Keselamatan Negara

Aplikasi Gerak masih di peringkat beta.


Aplikasi GERAK Malaysia yang telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyampaikan maklumat terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berita dan statistik berkenaan Covid-19 sebenarnya adalah masih lagi dalam peringkat beta.

Malah aplikasi itu masih belum mendapat kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia disahkan sendiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter beliau.

Kelulusan MKN tertangguh berikutan isu privasi pengguna. Ini kerana versi beta aplikasi tersebut dapat mengesan lokasi data pengguna.

https://twitter.com/Khairykj/status/1250993972354285568

Akaun MKN didalam ciapan juga menyatakan tiada penilaian atau perakuan yang dibuat keatas aplikasi Gerak. Dalam masa yang sama, MKN sedang menjalin kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk usaha menggabungkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace.


Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Kerajaan akan melancarkan aplikasi khas bagi mengesan pergerakan rakyat sekaligus mengekang penularan wabak Covid-19.

Pembangunan aplikasi tersebut adalah ilham daripada negara Singapura yang telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar, Trace Together.