Apa Yang Terjadi Dalam Taufan Irma

Bagi kita di Malaysia mungkin tidak terlibat sama sekali dengan taufan berskala besar yang telah melanda beberapa negara lain sebelum ini. Taufan Hato yang sebelum ini telah melanda Hong Kong dan Taufan Harvey yang telah melanggar negeri Texas di Amerika Syarikat meninggalkan kerosakan infrastruktur yang begitu teruk.

Amatlah merbahaya bagi seseorang yang cuba berada di dalam satu taufan berskala besar dan hendaklah melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa. Lain pula untuk para saintis dan para pengkaji cuaca khususnya, mereka cuba mendekati fenomena alam ini sedekat yang mungkin bagi memahami kejadian alam tersebut.

Bagi krew Pentadbiran Lautan dan Pentadbiran Atmosfera Negara (NOAA), mereka telah membuat sesuatu yang sangat merbahaya dengan terbang terus ke dalam salah satu taufan yang ganas di atas planet ini. Satu video yang dikeluarkan NOAA memaparkan apa yang terjadi di dalam Taufan Irma yang sekarang ini dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.

Kapal terbang yang dinaiki dilengkapi empat enjin turbo dan alatan saintifik dapat bertahan dalam ribut tersebut dan berjaya mengutip data-data yang berharga untuk kajian mereka.



Taufan Irma dijangka akan melanda kepulauan Bahamas sebelum singgah di Amerika Syarikat berdekatan Miami. Semua tempat tersebut sudah membuat persiapan penuh bagi menghadapi taufan itu dan mengelakkan kejadian yang sama seperti apa yang terjadi di Texas beberapa hari lepas.

Sumber