Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Kelemahan Sekuriti Cip Pemprosesan Intel, AMD Dan ARM

Beberapa hari lepas telah dilaporkan bahawa pemproses dari Intel, AMD dan juga ARM menghadapi kerentanan sekuriti.

Pihak penyelidik telah mengenalpasti kelemahan sekuriti itu berpotensi digunakan oleh pengodam untuk membuat akses keatas storan peribadi pada komputer serta rangkaian.

Difahamkan buat masa sekarang masih belum ada lagi kebocoran data dilaporkan. Menurut penyelidik, kelemahan sekuriti itu terbahagi kepada dua jenis pepijat yang dinamai sebagai Meltdown dan Spectre.

  • Meltdown - Menjejaskan komputer, komputer riba dan pelayan internet yang menggunakan cip Intel.

  • Spectre - Dikatakan menjejaskan lebih banyak peranti, seperti telefon pintar, tablet, dan komputer yang menggunapakai cip Intel, ARM dan AMD.




Penganalisis dari International Data Corporation (IDC), Bryan Ma menyatakan pusat data dan peranti yang mempunyai sambungan dengan perkhidmatan storan awan turut mempunyai risiko kerentanan tersebut.

Apa lagi yang perlu anda tahu?

Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Pusat Sekuriti Siber Kebanggsaan UK, tiada bukti kerentanan tersebut telah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Walaubagaimanapun, permasalahan ini sudahpun diketahui umum, dan semua pihak terlibat harus mengambil langkah berjaga-jaga.

Memetik laporan dari BBC, difahamkan bahawa pihak yang terlibat dengan industri teknologi sudah mengetahui tentang perkara ini sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas tetapi mereka telah menandatangani perjanjian untuk tidak mendedahkan perkara tersebut. Perancangannya adalah untuk menyelesaikan masalah itu secara tanpa mendedahkannya kepada umum.

Apa informasi yang berisiko?

Melalui kerentanan yang disebutkan diatas, pengodam berpotensi membaca maklumat peribadi yang disimpan dalan komputer seperti kata laluan, dan juga data kad kredit.

Bagaimana cara untuk melindungi komputer anda dari masalah ini?
Pengeluar peranti dan pembangun sistem seperti Google, Microsoft, Apple dan Linux sudah mula menawarkan kemaskini untuk membaiki masalah tersebut dan pengguna disarankan supaya terus memasangnya untuk melindungi peranti mereka.

Apple memberitahu bahawa semua model Macs, iPhones, dan iPads terkesan dengan kerentanan Meltdown. Mac yang menjalankan MacOS versi 10.13.2 dan iPhone serta iPad dengan iOS 11.2 dikelaskan sebagai selamat.

Adakah kemaskini itu akan menyebabkan peranti menjadi perlahan?

Terdapat penyelidik mendakwa kemaskini baik pulih itu akan menyebabkan komputer menjadi perlahan, penurunan lebih kurang 30% dari prestasi asal tetapi Intel menyatakan perkara itu hanya diperbesarkan. Menurut Intel, impak yang akan dihadapi pengguna tidak seperti dakwaan yang dibuat.

Sumber: BBC