Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Format HDMI 2.1

HDMI 2.1 kini telah pun rasmi sejak ia pertama kali dirancang pada awal Januari yang lalu oleh HDMI Forum.

Bagi versi terbaru ini beberapa penambahan telah dibuat termasuklah sokongan kepada video resolusi 10K pada kadar 120fps dan ciri Dynamic HDR.

Selain daripada itu, keupayaan menghantar data juga dipertingkatkan sehingga 48Gbps. Ia merupakan kelajuan yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan HDMI 2.0 sekarang yang menyalurkan data pada kadar 18Gbps dan HDMI 1.4 dengan 10.2Gbps.

Ini bermaksud, HDMI 2.1 mampu memberikan lebih resolusi, kadar bingkai yang tinggi, dan kedalaman warna yang lebih banyak.

 



Spesifikasi baru ini juga menyokong kadar segar semula (refresh rates) bagi video resolusi tinggi iaitu 60Hz bagi 8K dan 120Hz bagi 4K.

Turut sama diperkenalkan adalah VRR atau Variable Refresh Rate, yang mana ia akan mengurangkan atau menghindarkan lag supaya paparan permainan video menjadi lancar. Carta dibawah menunjukkan beberapa penambahan yang dibuat pada versi 2.1.



Format baru ini juga boleh digunakan pada  port HDMI lama, bermakna pengeluar peranti mempunyai masa untuk membangunkan peranti yang mampu dioptimumkan oleh HDMI 2.1.

Sumber: HDMI Forum via Engadget