3 peranti dilancarkan oleh Samsung untuk siri Galaxy S20 iaitu Galaxy S20, Galaxy S20+, dan juga Galaxy S20 Ultra.Terdapat beberapa teknologi menarik yang turut diperkenalkan melalui pelancarannya. Mari kita lihat apakah yang menarik untuk siri Galaxy S20 ini?

Panel 120Hz dengan input 240Hz

Dengan Galaxy S20, ini merupakan kali pertama Samsung berubah selera dari menggunakan panel hanya setakat 60Hz sahaja. Menggunakan panel 120Hz, Samsung secara tidak langsung melangkaui generasi peranti yang menggunakan 90Hz. Ini semestinya akan menawarkan pengalaman penggunaan paparan yang drastik berbanding model yang sebelumnya.

Image result for display s20Walaupun kadar segar semula hanya terbatas pada resolusi tidak lebih dari FullHD+, ia tetap memberikan pengalaman imersif terutamanya untuk permainan video yang menyokong ciri kadar segar semula yang sama.

Samsung juga turut meningkatkan penerimaan input paparan kepada 240Hz. Ini bermakna paparan akan menjadi sangat responsif kerana ia akan menyegar semula sebanyak 240 kali setiap saat untuk menerima input. Dipadankan dengan 120hz kadar segar semula paparan, semestinya ia merupakan combo terbaik untuk mengurangkan input latensi ketika bermain permainan.

IKLAN

Paparan tidak lagi semelengkung

Siri Galaxy S10 dan Note 10 mempunyai paparan cantik yang melengkung di bahagian sisi untuk genggaman selesa. Namun ramai yang kurang gemar dengan rekaan sebegini kerana pengalaman menonton video yang terganggu, sentuhan yang tidak disengajakan, dan juga terdedah kepada risiko cepat retak apabila jatuh.

Jadi untuk siri Galaxy S20, Samsung mendengar keluhan pengguna dan mengurangkan lengkungan pada paparan. Ia masih lagi melengkung namun hanya berasaskan kaca 2.5D sahaja bukannya 3D seperti model-model yang sebelumnya.

Teknologi RAM LPDRR5 terbaru

Bahagian memori turut menerima kemaskini. Kedua-dua varian cip Snapdragon 865 dan Exynos 990 menyokong piawaian terkini RAM LPDDR5. Dengan menggunakan LPDDR5 ini, kelajuan memori lebih dipertingkatkan. Bukan itu sahaja, RAM jenis ini boleh beroperasi pada voltan yang lebih rendah menjadikan ketahanan bateri lebih lama berbanding teknologi RAM sebelumnya.

Bateri minimum 4,000mAh

Jika siri Samsung S10 menggunakan bateri minimum bateri 3,100mAh (S10e), siri Samsung S20 pula minimum 4,000mAh. Secara spesifiknya adalah:

  • Galaxy S20 – 4,000mAh
  • Galaxy S20+ – 4,500mAh
  • Galaxy S20 Ultra – 5,000mAh

Kelemahan dengan peningkatan bateri yang besar ini adalah saiz peranti akan menjadi sedikit tebal dan fizikal lebih besar. Tetapi ia pengorbanan yang sangat berbaloi untuk mendapatkan penggunaan bateri yang lebih lama. Dengan paparan 120Hz yang menggunakan kuasa bateri yang banyak, nasib baiklah bateri tidak kurang dari 4,000mAh.

Jadi dengan siri Samsung Galaxy S20 ini, walau model yang mempunyai bateri terkecil pun, anda akan memperoleh ketahanan bateri yang agak lama.

RAM minimum 12GB

Minimum RAM yang terdapat dalam siri Galaxy S10 sebelum ini adalah 8GB dengan maksimum 12GB. Untuk Siri Galaxy S20, kini ia menggunakan minimum RAM 12GB dengan maksimum 16GB.

  • Galaxy S20 – RAM 12GB
  • Galaxy S20+ – RAM 12GB
  • Galaxy S20 Ultra – RAM 12GB/16GB

Bagi kebanyakan pengguna, RAM 8GB itu sudah pun lebih dari mencukupi. Dengan RAM 12GB ia pastinya sangat overkill tetapi beberapa tahun dari sekarang, RAM sebanyak ini semestinya akan menjadi normal. Ditambah pula dengan evolusi system operasi Android yang semakin kompleks.

Rakaman resolusi 8K

Sebelum ini sudah ada beberapa peranti yang menyokong resolusi rakaman video 8K seperti ZTE Nubia Red Magic 3. Tapi ia hanya pada 15fps dan pada kebanyakan video yang anda lihat dirakam pada 24fps.8K

Untuk siri Samsung Galaxy S20, kesemua peranti boleh merakam video dengan resolusi 8K 30fps. Sudah semestinya untuk melihat video 8K yang dirakam, anda perlukan paparan 8K juga. Samsung secara halus seakan menyuruh pengguna untuk membeli tv 8K QLED mereka semata-mata untuk melihat paparan dengan resolusi tinggi ini.

Dengan rakaman 8K juga, disebabkan resolusi yang sangat tinggi, pengguna boleh mengekstrak gambar bersaiz 33MP dari rakaman tersebut.

Dengan rakaman 8K, ia menimbulkan persoalan, panaskah peranti S20 ini jika ia merakam pada jangka masa yang lama? Untuk itu kita perlu menunggu ulasan mengenai peranti ini dalam masa terdekat.

Spesifikasi kamera lebih berkuasa

Antara bahagian Galaxy S20 yang paling banyak menerima peningkatan selain paparan adalah bahagian kamera.

  • Galaxy S20: 12MP utama + 64MP telefoto+ 12MP ultralebar
  • Galaxy S20+: 12MP utama + 64MP telefoto+ 12MP ultralebar+ TOF
  • Galaxy S20 Ultra: 108MP utama + 48MP telefoto+ 12MP ultralebar + TOF

Bermula dengan S20 dan S20+, kedua-duanya masih mempunyai 12MP lensa Utama. Namun, perbezaannya dapat dilihat dari penggunaan saiz pixel yang 30% lebih besar untuk membenarkan lebih banyak cahaya. Bahagian lensa telephoto juga dipertingkatkan menawarkan 64MP dengan 3x zoom optikal. Ultralebar juga turut sama dikemaskini, ia mempunyai 40% saiz pixel lebih besar yang membantu dalam situasi kurang cahaya.

Berlainan pula dengan S20 Ultra, dimana segala mak nenek spesifikasi kamera dimuatkan. Kamera utamanya menggunakan 108MP, tetapi ia boleh juga berfungsi sebagai pixel binning menjadikan 9 pixel sebagai satu pixel besar. Imej keseluruhan akan menjadi lebih kecil pada masa yang sama cahaya akan lebih sensitif terutamanya pada waktu malam.

Untuk telefoto, ia adalah 48MP dengan rekaan periskop sama seperti teknologi pada Huawei P30 Pro. Ia mampu menawarkan kualiti zoom tanpa pecah sehingga 10x dan boleh mencecah 100x zoom digital untuk maksimum zoom yang dimuatkan.

Terdapat juga fungsi Single Take yang mengambil gambar menggunakan kesemua lensa yang ada pada satu-satu masa. Super Steady juga kembali hadir. Ia merupakan penstabilan imej yang terdapat pada Galaxy S10 Lite dan Note 10 Lite sebelum ini.

*Untuk membaca spesifikasi penuh peranti, sila ke pautan ini.