Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Xiaomi Mi 9T

Jika anda menyusuri satu persatu keluaran Xiaomi setiap tahun, masing-masing ada daya penariknya yang tersendiri dan sudah semestinya, tanda harga yang berpatutan mengiringi spesifikasi idaman peminat.



Diperkenalkan terlebih dahulu di China, model ini dikenali sebagai sub-jenama kepada Xiaomi dengan membawa nama Redmi K20. Sesetengah daripada anda mungkin tertanya-tanya kenapa ia dijenamakan semula menjadi Mi 9T dan apa yang menarik mengenai peranti ini sehingga menjadi topik hangat beberapa minggu sebelum ia dilancarkan lagi.

Kenapa tukar Redmi K20 jad Mi 9T?

Suatu masa dahulu, Redmi merupakan salah satu siri dalam jenama Xiaomi sebelum ia dipisahkan menjadi sebuah sub-jenama baru bagi syarikat China tersebut. Di pasaran China dan India, ia dikenali sebagai Redmi K20 sementara pelancarannya untuk pasaran global lain, nama Mi 9T akan digunakan.



 

Perubahan nama itu dillihat dari segi strategi pemasaran dimana jenama "Redmi"masih belum begitu kuat berbanding "Xiaomi". Hal ini juga dinyatakan oleh Mi Malaysia yang mana  pengguna di Malaysia lebih familiar dengan Xiaomi Mi berbanding Redmi.

Peranti pertama di Malaysia yang dilengkapkan dengan Snapdragon 730

Pada April yang lalu, Qualcomm  telah mengumumkan kehadiran Snapdragon 730 bersama-sama dua lagi versi, Snapdragon 730G dan Snapdragon 665. Cip ini hadir dengan 2 x Kryo 470 2.2GHz (Cortex -A76) dan 6x Kryo 470 1.8 GHz(Cortex -A55) dan dikilangkan oleh Samsung dengan proses 8nm yang terbaru. Ia berbeza dengan Snapdragon 710 yang menggunakan Kryo 360.



Apabila sedang memproses, Snapdragon 730 akan mengimbangi beban kerja diseluruh 8 teras; dua prestasi dan enam bagi kecekapan. Tambahan lagi, proses 8nm membolehkan kecekapan kuasa yang lebih ekstrim pada saiz yang kecil.

Bahagian grafiknya pula didokong oleh Adreno 618 dan sudah pasti memberikan lebih peningkatan grafik berbanding versi terdahulu. Bagi sambungan pula, diperkuatkan dengan modem LTE Snapdragon X15 yang menawarkan kelajuan muat turun sehingga 800Mbps. Selain itu, platform ini juga telah disediakan dengan sambungan WiFi 6 dan gabungannya pada Snapdragon 730 boleh memberikan penjimatan yang lebih pada kuasa bateri.

Jadi apa yang telefon pintar yang mana dilengkapi dengan Snapdragon 730? Ya, betul Xiaomi Mi 9T.

LED notifikasi pada kamera terangkat

Tidak dinafikan LED notifikasi antara ciri yang diperlukan sesetengah pengguna. Tidak penting tetapi diperlukan pada keadaan yang tertentu, memudahkan pengguna mengetahui sama ada terdapat mesej yang masuk atau sebagainya.



Panel hadapan Mi 9T bebas tanpa sebarang rekaan takuk, menjadikan tiada ruang untuk meletakkan notifikasi LED pada dahi peranti. Oleh yang demikian, pengeluar mengambil inisiatif untuk meletakkan ciri tersebut pada bahagian atas kamera terangkat. Seperti fungsi kamera terangkat pada model-model yang lain, proses keluar masuk lensa diiringi dengan muzik. Menambah tarikan pada fungsi tersebut adalah LED yang menyala disekeliling lensa kamera hadapan.



Fungsi masuk secara automatik juga diberi pada Mi 9T. Kamera terangkat ini akan masuk secara automatik apabila ia mengesan peranti dalam keadaan jatuh. Sama seperti ciri yang terdapat pada OnePlus 7 Pro dan OPPO Reno.

Panel belakang dengan warna mengancam disertai kamera bump yang minimal



Cukup saja melihat kepada kamera bump pada Mi 9, pasti ada pengguna yang sakit hati kerana apabila diletakkan pada permukaan seperti meja, ia ternaik sedikit. Sakit mata, lebih-lebih lagi yang ada masalah OCD.

Melalui Mi 9T, kawasan kamera belakang itu lebih minimal dan tidak timbul seperti kebanyakkan model. Menariknya juga bahagian belakang ini adalah pilihan warna bercorak yang kelihatan "garang" dan mengancam.

Kamera hadapan terangkat dengan ciri rakaman panorama



Bukan sahaja terangkat, lensa 20MP ini turut diberikan kebolehan merakaman sudut yang lebih luas, sesuai untuk swafoto berkumpulan. Pengalaman swafoto bersama keluarga atau rakan-rakan pasti lebih menarik melalui ciri ini.

Dijual pada harga RM1199 dan RM1399 berbeza mengikut storan dalaman iaitu 64GB dan 128GB, pengguna turut berpeluang mendapatkannya pada harga jauh lebih murah iaitu RM1099 melalui pra-tempah di Lazada yang sudah bermula hari ini dan tamat pada 24 Jun depan.

Tawaran melalui Shopee pula menyediakan Redmi Air Dots yang bernilai RM129 secara percuma bagi pembelian Mi 9T 6GB/128GB pada 27 Jun 2019.