Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Wi-Fi 6

Dengan pembangunan teknologi yang begitu pantas, Wi-Fi menjadi satu keperluan dalam kehidupan seharian. Penggunaan peranti dalam seisi rumah juga semakin meningkat.

Oleh itu, piawaian terbaru Wi-Fi 6 telah dilancarkan pada tahun lalu dan mula digunakan pada peranti pintar tahun 2020. Namun, pasti ada antara anda yang belum mengenali lebih lanjut mengenai Wi-Fi 6. Teruskan pembacaan di bawah untuk berkenalan dengan rangkaian Wi-Fi 6 ini.

Apa itu Wi-Fi 6?


Wi-Fi 6 merupakan piawaian terbaru bagi teknologi sambungan tanpa wayar. Wi-Fi 6 yang juga dikenali sebagai 802.11ax dibangun untuk meningkatkan piawaian teknologi Wi-Fi 5 (802.11ac) sedia ada.

Secara dasarnya, ia dibangunkan sebagai respon kepada peningkatan penggunaan peranti di seluruh dunia. Setiap rumah memiliki pelbagai peranti seperti komputer riba, telefon pintar, tablet dan sebagainya. Penggunaan pelbagai peranti ini membuatkan rangkaian menjadi sesak dan seterusnya timbul masalah sambungan internet yang terlalu perlahan.

Wi-Fi 6 direka untuk meningkatkan kelajuan, kecekapan dan mengurangkan kesesakan dalam penggunaan jalur lebar yang berat.

Apa yang ada pada Wi-Fi 6?




Seperti biasa, piawaian Wi-Fi terkini menawarkan kelajuan pemindahan data yang lebih pantas. Jika menggunakan penghala Wi-Fi dengan satu peranti, kelajuan maksimum Wi-Fi 6 boleh mencapai sehingga 40% lebih pantas berbanding Wi-Fi 5.

Kapasiti rangkaian juga boleh dipertingkatkan sehingga 4 kali lebih baik berbanding versi sebelumnya.

Dengan penggunaan WI-Fi 6, ia memberikan prestasi yang lebih baik di tempat orang ramai. Anda mungkin perasan keadaan rangkaian Wi-Fi yang perlahan apabila mempunyai pengguna yang ramai. Ia seperti keadaan dimana kenderaan berada dalam lalulintas yang sesak.

Melalui sokongan MU-MIMO (Multiple User Multiple In and Multiple Out) yang ada pada Wi-Fi 6 membolehkannya mengawal dua kali ganda atau lebih trafik. Ia sekaligus memberikan manfaat khususnya di lokasi-lokasi besar seperti institusi pendidikan, lapangan terbang, pejabat dan sebagainya.



Fungsi “Target Wake Time” (TWT) yang terdapat pada Wi-Fi 6 membolehkan peranti untuk menyesuaikan masa dan bagaimana ia menerima atau menghantar data. Peningkatan sleep time sesuatu peranti akan mengurangkan penggunaan kuasa yang seterusnya dapat meningkatkan jangka hayat bateri telefon pintar dan peranti IoT.

Adakah anda perlu bertukar kepada Wi-Fi 6?


Ianya bergantung kepada penggunaan semasa anda. Jika anda memerlukan sambungan Wi-Fi yang lebih baik dengan pelbagai penambahbaikan, anda mungkin memerlukan Wi-Fi 6.

Namun, sebelum bertukar kepada penghala yang menyokong Wi-Fi 6, anda terlebih dahulu memerlukan peranti yang juga mempunyai sokongan Wi-Fi 6 untuk memanfaatkan teknologi itu sepenuhnya.

Berkaitan