Apa Yang Anda Boleh Lakukan Dengan Skrin Melimpah Vivo NEX 3

Sejak dari siri NEX yang pertama lagi, Vivo sedia menghidangkan inovasi baru kepada pengguna peranti pintar. Malah penawaran terbaru Vivo NEX 3 yang sudah mendarat rasmi dipasaran tempatan pada minggu lalu turut disertakan sejumlah ciri-ciri menarik.

Apa yang menarik dengan Vivo NEX 3?

Seperti yang diuarkan-uarkan sebelum ini,  model flagship terbaru dari Vivo dipasang dengan skrin paparan Waterfall FullView berukuran 6.89 inci dari jenis POLED. Lengkungan dibahagian sisinya lebih "dalam" jika dibandingkan dengan skrin melengkung pada peranti yang tersedia berada dipasaran. Menarik tentang skrin melengkung "air terjun" dari Vivo ini, anda tidak akan mengalami masalah sentuhan tidak sengaja seperti yang dialami pada peranti skrin melengkung lain.  Hal ini kerana Vivo mempunyai solusi bagi masalah sentuhan tidak disengajakan melalui pembangunan algoritma mereka yang tersendiri.



Hadir berstatus flagship, bahagian dalamannya juga sarat dimuatkan dengan komponen berprestasi tinggi seperti Snapdragon 855 Plus, RAM 8GB serta storan 256GB yang berasaskan UFS 3.0 bagi kombinasi akses data lebih pantas.

Vivo NEX 3 tiada butang fizikal terkeluar pada sisi peranti

Oleh kerana sisi peranti hampir dipenuhi skrin paparan yang melimpah ke tepi itu, ia tidak didatangkan dengan rekaan butang fizikal konvensional. Ia digantikan dengan ciri dipanggil sebagai Touch Sense, menjadikan sisinya licin rata tanpa sebarang butang yang terjojol.



Melaluinya, butang fizikal disembunyikan didalam kerangka peranti. Touch Sense memberikan tindak balas haptik dimana apabila ditekan, ia seakan butang fizikal yang biasa kita gunakan selama ini.

Susah atau senang untuk gunakan tanpa butang fizikal?

Setiap kali hadir ciri atau fungsi baru, pastinya kita akan berasa sedikit kekok untuk menggunakannya. Tetapi jangan khuatir, lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

Bagi membezakan antara fungsi kuasa serta kawalan audio, bahagian sisi itu diletakkan dengan tekstur bergaris. Jadi anda lebih mudah menekan tanpa perlu melihat ke bahagian itu.



Tetapi mungkin ibu jari anda sudah berkematu sehingga tidak dapat merasakan tekstur bergaris itu, sisi paparan turut memaparkan petunjuk bahagian mana yang perlu ditekan untuk ketiga-tiga fungsi tersebut.

Untuk paparan petunjuk bahagian yang perlu ditekan, anda perlu pergi ke  tetapan Touch Sense  dengan cara(Settings > Hidden pressure-sensitive buttons > Guide to the pressure.....).



Selain itu, anda juga diberikan pilihan untuk menetapkan butang maya pada sisi paparan. Dengan tetapan ini, anda tidak perlu menekan sisi peranti dimana fungsi kawalan audio boleh dilakukan dengan cara tatalan pada butang maya yang juga terletak pada sisi skrin



Sentuh dan tarik ke tengah butang maya berbentuk garis lurus untuk kawalan audio, sementara untuk padam paparan hanya perlu sesentuh dua kali.



Satu lagi tetapan ubah suai yang disediakan Vivo pada ciri Touch Sense adalah tahap sensitif tekanan butang. Tiga tahap tekanan sensitif diberikan iaitu Light untuk daya sentuhan yang lembut, Standard bagi daya tekanan sederhana dan Heavy yang memerlukan anda menekan dengan kuat sedikit pada sisi peranti.

Melihat kepada ciri Touch Sense yang dilengkapkan Vivo pada Vivo NEX 3 ini, ia sedikit sebanyak membawa ingatan kita kepada model prototaip yang pernah diperkenalkan mereka awal tahun ini, Vivo APEX. Vivo APEX hadir dipertontonkan sebagai sebuah peranti yang tidak mempunyai sebarang butang fizikal hatta port pengecasan sekalipun.



Ini turut memberi gambaran yang mana Vivo sentiasa bergerak ke hadapan dalam mengetengahkan inovasi baru bagi keluaran mereka. Secara ringkasnya Vivo NEX 3 tampil dengan Snapdragon 855 Plus, skrin paparan POLED Waterfall FullView 6.89 inci beresolusi FHD+, RAM 8GB, storan 256GB, bateri 4500mAh bersama pengecasan pantas FlashCharge 22.5W. Kamera talaan hadapan menggunakan mekanisme terangkat dengan lensa 16MP f/2.09), sementara tiga kamera belakang terdiri daripada lensa utama 64MP (f/1.8), 13MP (f/2.2) lensa sudut lebar serta lensa telefoto 13MP (f/2.5). Semua spesifikasi terbaik ini boleh dimiliki anda pada harga RM3899.



Mungkin anda mahu menikmati pengalaman sedikit berlainan daripada peranti sedia ada ditambah dengan prestasi terbaik hasil gabungan komponen dalaman berkuasa tinggi, Vivo NEX 3 mungkin jawapannya.