realme X2 Pro, Peranti Paling 'Hype' Dengan Cip Pemprosesan Terpantas Snapdragon 855+

Kemaskini: realme X2 Pro hadir ke Malaysia pada harga RM2,399

Tahun ini adalah tahun realme, itu adalah ungkapan yang bermain di fikiran saya pada ketika ini.

Dengan perkenalan dua model realme 3 Pro dan realme 5 Pro tahun ini menggambarkan betapa seriusnya mereka dalam memonopoli segmen telefon pintar mampu milik.

Tahun 2019 semakin berakhir, dan realme Malaysia buat pertama kalinya mengambil keputusan untuk beraksi dalam kelas peranti 'flagship'.

Langkah yang diambil oleh realme Malaysia secara tidak langsung, memberi amaran kepada pesaing untuk bersiap sedia dengan kedatangan mereka.


Cip Pemprosesan Snapdragon 855+


realme X2 Pro dibekalkan dengan cip pemprosesan yang paling hebat anda boleh dapatkan di peranti Android ketika ini.

Dengan binaan 7nm, cip ini memiliki 8 teras Kyro dan cip grafik Adreno 640, memastikan penggunaan yang lancar. Berbanding Snapdragon 855, ia memberikan peningkatan sehingga 15% dari segi prestasi grafik.

Jika anda lihat dipasaran ketika ini, kebanyakkan telefon pintar 'gaming' tahun ini menggunakan cip Snapdragon 855+ yang sama, jadi anda boleh menjangkakan kebolehan untuk mengendalikan permainan mudah alih tanpa masalah.

Malah, dengan sistem penyejukkan 'Vapor Chamber', saya turut menjangkakan 'panas' bukan lagi satu isu untuk peranti ini.

Saya sempat menggunakan peranti ini minggu ini, dan secara peribadi saya katakan ini adalah peranti paling cukup garamnya.

Skrin 90Hz! Meleleh Air Liur




Ya, ini adalah ciri yang membuatkan saya tersenyum lebar. realme X2 Pro menggunapakai skrin AMOLED dengan kadar segar 90Hz menjanjikan pengalaman 'gaming' yang lebih mengasyikkan. Paparan pada skrin akan nampak lebih laju.

Malah dengan sokongan HDR 10+ dan gamut warna 100% DCI-P3, memberikan paparan yang lebih jelas dan warna yang lebih menonjol walaupun di bawah cahaya matahari.

Dengan cip berkuasa dan skrin 90Hz, menjalankan operasi di media sosial adalah sangat mudah untuk peranti ini, mudah seperti mengupas kacang.

Antara Ciri Menarik Lain



  • Kamera utama 64MP

  • Kamera telefoto 13MP, f/2.5 (zoom optikal 5X, zoom hibrid 20X)

  • kamera ultra lebar 8MP, f/2.2 (sudut luas sudut 115°)

  • Pengecasan 50W berdesup laju, pengecasan penuh hanya mengmbil sekitar 35 minit

  • Pengimbasan cap jari dalam skrin yang lebih pantas

  • Skrin, 6.5 inci AMOLED dengan takuk 'waterdrop' mungkin sedikit ketinggalan zaman memasuki tahun 2020.

  • Sokongan NFC yang juga menyokong Google Pay

  • Pembesar suara stereo Dolby Atmos

  • Hyperboost 2.0



Pembunuh Flagship?


Apabila kita menyebut sahaja tentang 'flagship killer', secara automatiknya mengingatkan kita kepada peranti dari OnePlus.

Datang dengan spesifikasi tertinggi dan ciri yang hanya ditawarkan oleh peranti kelas bangsawan pada harga yang berpatutan.

Saya menjangkakan realme X2 Pro ini akan menjadi satu fenomena dalam industri dan tidak terkejut jika ia diangkat sebagai 'Flagship Killer' untuk tahun 2019.

Apa-apa pun kita harus nantikan pelancaran rasminya dalam masa terdekat dan nantikan ulasan kami tentang realme X2 Pro.

Persoalannya, Bila realme X2 Pro Akan Diperkenalkan di Malaysia




Dalam satu acara bersama media baru-baru ini, realme Malaysia mengambil pendekatan yang berbeza dalam mengumumkan tarikh pelancaran rasmi realme X2 Pro ini.

Melalui satu sesi penggambaran bersama media, mereka meletakkan tarikh 2 December di bahagian atas gambar yang memberi petunjuk (terang lagi bersuluh) tarikh rasmi pelancaran realme X2 Pro ini.

Seperti biasa, harga rasmi peranti ini masih lagi belum terjawab. Sama-sama kita nantikan kemunculan bakal 'Flagship Killer' ini ke pasaran.

Baca Ulasan: https://wiser.my/dengan-segala-kelengkapan-terbaik-realme-x2-pro-dikatakan-mahal/