Apa Sudah Jadi Dengan Friendster?

Sebelum ini kami telah menceritakan kepada pembaca berkenaan apa sudah terjadi kepada MySpace, dan kali ini Friendster pula menjadi subjek untuk diperbincangkan. Mengalami nasib yang sama seperti MySpace, Friendster juga menjadi mangsa kepada kebangkitan Facebook satu masa dulu.

Sama seperti laman media sosial yang lain, Friendster menjadi platform untuk berhubung dengan rakan-rakan, menambah kenalan baru, serta berkongsi pelbagai jenis kandungan baik dari segi gambar, video mahupun muzik. Friendster pernah digelar sebagai 'Datuk Kepada Laman Media Sosial' kerana menjadi pemangkin kepada medium perhubungan alaf baru.


Jonathan Abrams (Kredit : Mashable)


Jonathan Abrams bersama dua rakannya ,Peter Chin dan Dave Lee merupakan tiga insan yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan satu cara baru untuk manusia berhubung dan mendapatkan kenalan baru. Bermula pada tahun 2002, Friendster berjaya memperolehi lebih tiga juta akaun berdaftar pada beberapa bulan terawal penubuhannya.

Kejayaan itu menarik minat syarikat Kleiner Perkins Caufield & Byers untuk melabur sebanyak $ 12 juta(~RM 48.75 juta) bagi memperluaskan pengaruh Friendster dengan lebih cepat pada tahun 2003. Melihat masa depan yang cerah pada laman berkenaan, Google cuba membeli Friendster pada tahun yang sama, namun tawaran mereka ditolak.


Antaramuka asal Friendster (Kredit : Inspratorfreak.com)


Friendster terus membangun dengan pesat hasil pelaburan beberapa syarikat lain seperti DAG Ventures serta IDG Ventures, sebelum dibeli oleh MOL Global pada tahun 2009. Walaupun terdapat beberapa laman media sosial lain yang ditubuhkan sebelum itu, mereka cuma bersaing rapat dengan MySpace dan Facebook sepanjang tempoh berkenaan.

Punca kejatuhan mereka bermula pada sekitar tahun 2006-2008 yang menyaksikan jumlah pengguna mereka di Amerika Syarikat(AS) berkurangan, namun diselamatkan oleh peningkatan pengguna di benua Asia. Pemilikan oleh syarikat pembayaran atas talian gergasi dari Malaysia, MOL Global Inc menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Namun pada tahun 2010, mereka telah menjual sejumlah 18 paten yang dimiliki kepada beberapa pembangun media sosial yang lain termasuk Facebook dengan nilai cuma $39.5 juta(~RM 160.47 juta). Tindakan itu diambil selepas MOL Global bertindak untuk menukar konsep Friendster daripada sebuah laman media sosial kepada laman perkhidmatan permainan atas talian.


Antaramuka Friendster pasca-MOL (Kredit : CNews)


Facebook terus membangun pesat selepas itu, sambil Friendster terus merudum bersama-sama dengan MySpace. Di sini munculnya kekesalan kepada pengasas mereka kerana tidak membeli Facebook semasa mereka memiliki peluang untuk melakukannya pada tahun 2004. Abrams ketika itu menolak jumlah wang yang diminta Mark Zuckerberg yang didakwa terlalu tinggi.

Walaupun berjaya menarik pengguna dari Asia pada awalnya, Friendster semakin bermasalah selepas semakin ramai pengguna yang meninggalkan servis mereka. Friendster akhirnya menghentikan perkhidmatan mereka pada tahun 2015, atas alasan gagal menurut kehendak dan perkembangan industri.

Kredit : Friendster


Pengasas Friendster, Jonathan Abrams bagaimanapun tetap berasa bangga dengan kejayaan Friendster walaupun ianya bersifat sementara. Menurut beliau, media sosial yang dinikmati oleh berbillion pengguna di dunia pada hari ini adalah hasil dan usaha daripada beliau bersama Chin dan Lee.

Friendster, MySpace mahupun Facebook, tujuannya adalah sama iaitu untuk menghubungkan sesama manusia tanpa mengira batasan atau sempadan. Maka, kita sebagai pengguna harus bijak menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin bagi membantu laman media sosial ini mencapai tujuan asal penubuhannya.