Apa Perkembangan Terbaru Tentang PlayStation 5

Desas-desus mengenai kedatangan PlayStation 5 sudah bermula sejak setahun yang lalu.

Pada awalnya, peminat konsol mula berasa bimbang selepas Sony melancarkan PlayStation 4 versi Pro dua tahun sudah.

Hal ini kerana mereka beranggapan konsol kegemaran ramai tersebut bakal berakhir dengan siri PlayStation 4 Pro dan tiada lagi penghasilan PlayStation 5.

Kapsyen: Rekaan konsep PlayStation 5


Sebelum ini, presiden kepada Sony Worldwide Studio, Shuhei Yoshida hanya mengatakan “jika”, yang dilihat memberi petunjuk syarikat itu tidak pasti dengan masa depan PlayStation 5.

Selepas satu mesyuarat berkenaan PlayStation diadakan, Shawn Layden, CEO Sony Interactive Entertainment America telah mengesahkan bahawa PlayStation 4 Pro bukan konsol terakhir dari mereka.

Namun begitu, Layden tidak pula menyatakan tarikh sebenar bilakah konsol itu akan dilancarkan.

Baru-baru ini, CEO PlayStation, John Kodera ada memberitahu pelabur bahawa PlayStation sudah memasuki fasa terakhir "kitaran hayat" selepas 5 tahun memberikan khidmat.

Pemerhati berpendapat pengumuman mengenai PS 5 bakal dibuat pada acara E3 2019 dengan jangkaan penawaran konsol pada 2020.



Mengapa tahun 2020? Menurut Eurogamer, terdapat perkara yang perlu diselesaikan sebelum pengeluaran produk akhir.

Perkara tersebut adalah mengenai teknologi proses mengecilkan cip pemprosesan utama. Ketika ini kesemua konsol menggunakan proses 16nm FinFET dan PlayStation 5 dijangka menggunapakai 7nm FinFET.

Seperkara lagi ialah keperluan memori baru yang lebih pantas. Kedua-dua isu diatas dijangka mampu disediakan pada 2019 tetapi perlu mengambil kira beberapa faktor seperti kos pembangunan sistem yang mungkin menyebabkan ia ditangguh ke tahun berikutnya.

Seterusnya mengenai permainan yang bakal diketengahkan untuk platform PlayStation 5. Berikut merupakan senarai permainan yang disebut-sebut akan dihidangkan untuk pemain:

  • Death Stranding

  • Ghost of Tsushima

  • Cyberpunk 2077

  • Call of Duty

  • FIFA 2021 on PS5

  • PES 2021 on PS5

  • Final Fantasy 7 Remake

  • Starfield

  • The Elder Scrolls 6


Permainan PS 4 mungkin boleh dimainkan pada PS 5 kerana kebarangkalian Sony membangunkan konsol baru mengikuti seni bina sistem yang lama.

Sementara itu, bagi permainan PS 3 dan keluaran terdahulu, ia mungkin tidak dapat dimainkan.

Berkenaan harga, ia dianggarkan pada nilai 399 pound (~RM 2109.43).

Sumber: Daily Star dan EuroGamer