Apa Perbezaan Chromebook Dengan Komputer Riba Yang Lain?

Ketika melayari internet untuk mempertimbangkan model komputer riba mana yang sesuai dibeli, pastinya anda akan terlihat  Chromebook. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah perbezaan peranti ini dari komputer riba biasa yang lain?

Untuk dipendekkan cerita, Chromebook lebih sesuai digunakan untuk melayari internet, memeriksa email, membuat penstriman Netflix, menggunakan aplikasi dalam talian, dan menonton Youtube. Jika anda kerap melakukan aktiviti diatas, mungkin komputer riba mudah alih ini sesuai bagi anda.

Chromebook adalah komputer riba yang menggunakan sistem operasi Chrome OS yang mana ia berbeza dari komputer biasa yang dioperasikan oleh Windows atau MacOS. Dalam ayat yang lain, ia seperti membuka segala aktiviti pada pelayar Google Chrome.



Oleh kerana ia menggunakan sistem operasi Chrome, sudah tentu ia tidak dapat dipasang dengan apa-apa aplikasi dari Windows atau Mac. Namun negitu, ia boleh dipasang sambungan Chrome atau aplikasi dari Android kerana kebanyakan Chromebook yang baru didatangkan dengan sokongan aplikasi Linux, yang mana ia berfungsi seperti komputer riba yang lain.

Chromebook tidak terlalu bergantung pada sambungan internet, ini kerana terdapat lebih dari 200 aplikasi Chrome dan aplikasi Android yang boleh diakses secara luar talian.

Jadi kenapa perlu memilih Chromebook? secara purata pada sekali cas, ia mampu bertahan lebih dari 9 jam, tempoh boot-up hanya mengambil selama 5 hingga 15 saat, mempunyai daya tahan hentakan dan kalis air bagi sesetengah model.

Pada kaedah kemaskini sistem, ia akan berjalan pada setiap boot-up dan berjalan di latar belakang tanpa mengganggu kerja-kerja anda.

Bagi aspek spesifikasi, secara asasnya Chromebook lebih kecil dari komputer riba biasa dengan saiz paparan skrin sekitar pada 12.3 inci dan terdapat juga beberapa model dengan saiz antara 14 inci ke 15 inci.

 



Kebiasaannya ia hadir dengan RAM 4GB, namun ada juga yang dimuatkan sehingga RAM 8GB hingga RAM 16GB untuk aktiviti yang lebih lagi.

Namun pada ruang penyimpanan pula, terdapat 32GB penyimpanan pada kebanyakan model, tetapi boleh ditambah kepada 64GB malah hingga ke 512GB. Ruang memori tambahan juga boleh ditagih dari penggunaan kad MikroSD atau external hard drive.

Dari segi harga dipasaran, jarak harga antara  dari RM350 (refurbished) hingga ke RM2000 bergantung kepada model dan spesifikasi. Bagi pasaran tempatan, peranti ini dilihat kurang popular mungkin kerana pengguna kurang berminat dengan sistem operasi dan spesifikasi atau mungkin juga merasakan dengan harga sebegitu, mereka boleh mendapatkan komputer yang lebih baik lagi.

Berkaitan