Apa Itu Teknologi Hijau?

Dalam usaha memulihara bumi dan melestarikan kehidupan, pelbagai teknologi baru dibangunkan yang lebih mesra alam sekitar.

Salah satu teknologi baru yang giat diusahakan oleh pelbagai pihak adalah teknologi hijau.

Teknologi Hijau adalah merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.



Kriteria-kriteria yang diperlukan untuk sesuatu peralatan, produk dan perkhidmatan itu dikategorikan dalam teknologi hijau adalah seperti berikut:-


  • Meminimumkan kerosakan alam sekitar

  • pembebasan gas rumah hijau kepada sifar atau lebih rendah

  • pelepasan emisi yang selamat dan meningkatkan kualiti alam sekitar yang lebih sihat

  • memelihara penggunaan tenaga dan sumber alam

  • mempromosikan penggunaan sumber yang boleh diperbaharui


Kapsyen: Bangunan Green Energy Office (GEO) yang dimiliki oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) telah dinobatkan sebagai pemenang Penyertaan Khas – Bangunan Tenaga Sifar dalam Kategori Kecekapan Tenaga pada Majlis Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) yang diadakan secara maya baru -baru ini. Kredit: MGTC


Dalam pembentangan Belanjawan Negara 2021 lalu, kerajaan telah mengusulkan pelanjutan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dengan memperuntukan sebanyak RM2 bilion bagi mendorong sektor swasta terutamanya industri pembuatan dan perkhidmatan untuk turut serta dalam penggunaan teknologi hijau seterusnya memacu agenda ekonomi hijau.



Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) yang menjadi peneraju dalam ekonomi hijau di Malaysia menyatakan harapan mereka agar inisiatif skim itu akan menjana pertumbuhan pelaburan hijau yang dianggarkan sebanyak RM4 billion dan akan menjana sehingga 2,500 peluang pekerjaan pada masa akan datang.


Sumber: KASA dan MGTC