Apa Itu Penipuan Akaun Telefon Pintar? Bagaimana Mengelakkan Diri Dari Menjadi Mangsa?

Sejak kebelakangan ini, wujud laporan berlakunya kes-kes yang melibatkan teknik penipuan terbaru bagi mencuri wang pengguna secara terselindung tanpa menyentuh telefon mangsanya.

Teknik penipuan tersebut dikenali sebagai penipuan akaun telefon pintar.

Penipuan akaun telefon pintar adalah bentuk jenayah yang dibuat secara atas talian dengan cuba mendapatkan akses ke akaun telefon pintar mangsanya.

Akses ke atas telefon pintar dibuat dengan menggunakan dokumen yang dipalsukan dan kemudian cuba menukar kad SIM mangsa kepada kad SIM baharu milik mereka. Menerusi cara itu, penjenayah akan menyekat mangsanya daripada melakukan apa-apa perkhidmatan.

Teknik penipuan ini digunakan adalah untuk penjenayah memintas protokol keselamatan ‘’pengesahan dua-faktor" (two-factor authentication).

Berikut adalah contoh teknik penipuan tersebut sepertimana yang pernah berlaku ke atas seorang pengguna.



Sekiranya mangsa terpedaya, segala panggilan, e-mel dan butiran lain akan berpindah ke kad SIM yang ‘baharu’ sekaligus berpotensi untuk penjenayah mendapatkan akses ke atas e-mel, akaun perbankan, media sosial mangsa dan banyak lagi.

Oleh itu, sebagai pengguna adalah penting untuk anda mengetahui cara bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa teknik penipuan tersebut.

Berikut adalah beberapa langkah yang dapat membantu anda supaya tidak menjadi mangsa penipuan akaun telefon pintar:-

  • Hanya memuat turun aplikasi dari stor aplikasi rasmi sahaja untuk meminimumkan kemungkinan serangan ‘malware’ (perisian hasad). Sebagai contoh Google Play untuk Android dan Apple App Store untuk peranti iOS.

  • Jangan membuat transaksi perbankan, membeli-belah atau sebarang transaksi yang sensitif apabila menggunakan Wi-Fi awam percuma (terbuka) kerana ia hanya memudahkan lagi penjenayah mencuri kata laluan anda.

  • Berhati-hati apabila menerima e-mel atau panggilan telefon yang meminta anda memberikan butiran akaun atau meminta anda klik pautan atau lampiran tertentu. Ini kerana laman sesawang dan e-mel boleh dipalsukan dengan cara yang meyakinkan. Oleh itu pastikan anda hanya akses ke laman sesawang rasmi bagi mendapatkan pengesahan.

  • Jika sesiapa di rangkaian kenalan anda mula berkelakuan aneh seperti menghantar mesej kepada anda untuk mendapatkan maklumat peribadi atau wang anda, berhati-hatilah. Sindiket penipuan mungkin menyamar menjadi rakan anda dengan menggunakan akaun rakan anda yang telah digodam untuk mendapatkan data daripada anda.

  • Berhati-hati dengan orang yang membuat panggilan dan mendakwa sebagai pekerja bank atau pihak berkuasa kemudian meminta butiran akaun peribadi anda. Ditegaskan di sini bahawa pihak berkuasa yang sah tidak memerlukan bantuan anda untuk mendapatkan semua maklumat tersebut.

  • Sebelum log masuk ke mana-mana laman sesawang yang memerlukan data peribadi, semak terlebih dahulu dan pastikan laman tersebut mempunyai ikon kunci tertutup (https) di bahagian sudut laman sebelum anda meneruskan aktiviti seterusnya.


Kapsyen: Contoh laman sesawang Wiser yang mempunyai ikon kunci tertutup.


  • Segera maklumkan kepada pihak bank atau hubungi khidmat pelanggan penyedia perkhidmatan anda jika didapati berlaku sebarang transaksi atau aktiviti meragukan.

  • Pastikan sistem perisian dan aplikasi dalam telefon pintar anda dikemas kini kepada versi terbaru.

  • Jangan membeli atau mendapatkan kad sim daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi tanpa melalui proses pendaftaran yang betul.


Suka diingatkan bahawa penipuan akaun telefon pintar merupakan aktiviti jenayah yang sangat merbahaya kerana ia bukan sahaja mempunyai risiko untuk anda kehilangan wang tetapi juga membuat anda terdedah kepada bentuk penipuan yang lain.

Sumber: CFM