Telefon pintar adalah peranti elektronik yang digunakan oleh sebahagian besar daripada kita setiap hari pada zaman kini.
Bagaimanapun, ramai di antara kita yang masih belum benar-benar “kenal” dengan setiap fungsi yang ada pada peranti tersebut.
Jika sebelum ini kita bincangkan berkenaan fungsi blue light filter, kali ini kami akan terangkan secara ringkas mengenai apa itu NFC dan kegunaannya dalam kehidupan seharian kita.
Near-Field Communication
NFC adalah ringkasan bagi terma Near-Field Communication, sebuah teknologi yang membolehkan telefon pintar anda berhubung dengan sesebuah peranti lain secara jarak dekat.
Masih ingat lagi dengan sambungan melalui infrared(infra-merah) pada masa dulu? NFC ini boleh dikatakan sebagai naiktaraf kepada teknologi berkenaan.
Bezanya, anda tidak lagi perlu merapatkan dua peranti sehingga selesai melakukan penghantaran fail.
Sambungan NFC ini tidak memerlukan peranti untuk berhubung dengan apa jenis saluran internet(Wifi/4G/3G dsb.) dan ia sebenarnya dilakukan melalui sambungan Bluetooth.
Akan tetapi, melalui NFC anda tidak perlu susah payah untuk menghubungkan(pairing) antara dua peranti seperti yang perlu dilaksanakan apabila menggunakan Bluetooth.
Fungsi & Kegunaan NFC Pada Telefon Pintar
Boleh dikatakan sebahagian besar telefon pintar keluaran terbaru hadir dengan sokongan NFC ini. Malangnya, tidak ramai yang pernah mengaktifkannya walaupun sekali.
Seperti yang dikatakan lebih awal, fungsi ini membolehkan pemindahan fail dilakukan di antara dua peranti yang berhampiran.
Untuk melakukannya, anda hanya perlu mengaktifkan fungsi NFC, buka mana-mana fail yang ingin dihantar, dan sentuhkan panel belakang peranti penghantar dan penerima.
Selain telefon pintar, NFC juga boleh digunakan untuk berhubung dengan peranti lain seperti fon kepala atau pembesar suara tanpa wayar.
Caranya adalah sama, anda hanya perlu sentuhkan panel belakang telefon pintar dengan sensor yang ada pada peranti yang ingin dihubungkan. Biasanya, ia ditandakan dengan logo NFC itu sendiri.
Anda juga boleh membuat pembayaran melalui teknologi ini sekiranya anda menggunakan sistem pembayaran telefon pintar seperti Samsung Pay dan Google Pay.
Bagaimanapun, sistem pembayaran ini kurang popular di Malaysia dan tahap keselamatannya juga pernah dipertikaikan dikalangan penggiat industri.
Penting Atau Tidak Sambungan NFC Ini?
Jawapannya ialah ya dan tidak. Pada ketika ini, sokongan NFC ini mungkin tidak dianggap terlalu penting memandangkan tidak terlalu banyak yang boleh dilakukan dengannya.
Walaubagaimanapun, dalam masa 2 atau 3 tahun mendatang, tidak mustahil ia akan menjadi antara fungsi terpenting yang ada pada sesebuah telefon pintar, terutamanya jika sistem bayaran telefon pintar menjadi semakin penting nanti.
Antara potensi lain yang ada pada fungsi ini ialah penggunaannya sebagai medium yang akan menggantikan tiket fizikal bagi tujuan menaiki tren, memasuki stadium dan banyak lagi.
Fungsi-fungsi ini sudah mula digunakan di beberapa buah negara dan dijangka akan terus berkembang pada tahun-tahun mendatang.
Diharapkan dengan perkongsian kali ini dapat membantu anda untuk lebih memahami mengenai teknologi NFC dan fungsi-fungsinya.
Sumber: Digital Trends, Android Pit, Tech Advisor