Apa Itu DuitNow, Dan Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenainya

DuitNow merupakan salah satu perkhidmatan yang dikendalikan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan seperti JomPAY, Interbank GIRO (IBG), MyDebit, FPX dan sebagainya.

https://www.youtube.com/watch?v=bg7pDNQNBOQ&feature=youtu.be

Melalui DuitNow, ia membolehkan pengguna membayar atau menerima wang dengan mudah, serta-merta dan selamat. Pemindahan wang boleh dilakukan kepada mana-mana ID DuitNow termasuk melalui nombor telefon, kad pengenalan serta nombor pendaftaran perniagaan.

Jadi, melalui DuitNow pengguna mempunyai pilihan lain untuk memindahkan wang tanpa memerlukan nombor akaun.

Rangkaian pembayaran utama di Malaysia



Syarikat yang mengendalikan DuitNow iaitu PayNet, merupakan rangkaian pembayaran utama di Malaysia dan infrastruktur pusat bagi pasaran kewangan.

Bank Negara Malaysia adalah pemegang saham tunggal terbesar DuitNow dan 11 bank di Malaysia iaitu Malayan Banking Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, CIMB Bank Berhad, AmBank (M) Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Affin Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad merupakan pemegang saham bersama.

Penyelesaian lambakan e-Dompet


Pada ketika ini, jika seseorang pergi ke restoran atau perniagaan yang menawarkan pembayaran hanya melalui satu e-Dompet, sudah pasti pembayaran tidak dapat dilakukan dengan menggunakan e-Dompet yang lain kerana perniagaan tersebut hanya menyokong satu jenis pembayaran sahaja.

Sebagai penyelesaian kepada lambakan e-Dompet, PayNet dengan kerjasama MOF Inc’s Cyberview Sdn Bhd, telah menambah satu lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai iaitu DuitNow QR. DuitNow QR membenarkan pengguna membuat Interoperable Credit Transfer Framework (ICTF) iaitu pembayaran antara bank ke bank atau e-Dompet yang terlibat yang menyokong ciri ini.



Baru sahaja berlangsung pada hari ini pelancaran Cashless Ecosystem for Cyberjaya with Malaysia National QR yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. Melalui pelancaran ini,  Cyberjaya bakal menjadi bandar pertama di Malaysia yang menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai menerusi DuitNow QR. Dua lokasi awal adalah Tamarind Square dan Dpulze.

Satu QR Code untuk semua pembayaran tanpa tunai




Setiap perniagaan yang menerima e-Dompet mempunyai kod QR yang pelbagai. Namun, dengan DuitNow QR, semua akan disatukan di bawah kod QR yang sama. Melalui DuitNow QR, pengguna boleh membuat pembayaran dari mana-mana aplikasi perbankan internet atau e-Dompet yang terlibat. Peniaga hanya perlu memaparkan satu kod QR, DuitNow QR, untuk menerima pembayaran.

DuitNow QR ditawarkan di lebih 30 bank termasuk e-dompet TNG eWallet dan platform digital seperti ShopeePay.

Lebih banyak platform pembayaran tanpa tunai




Platform pembayaran tanpa tunai ini mempunyai dua fasa di mana fasa pertama melibatkan pemindahan kredit dan pembayaran melalui QR. Bagi fasa kedua, PayNet akan membangunkan lebih banyak platform seperti request-to-pay, consent, real-time debit dan Cross Border Interoperability yang membolehkan anda membayar dan menerima wang melalui nombor telefon merentasi sempadan.

Ini bermakna, hanya melalui nombor telefon, pengguna dapat menerima wang walaupun berada di luar negara seperti Thailand, Indonesia dan sebagainya.