Apa Dah Jadi Dengan MySpace?

Media sosial mula menjadi kegilaan ramai pada awal tahun 2000. Sebahagian besar penggunanya terdiri daripada golongan remaja yang dahagakan interaksi sesama mereka.

Antara medium yang paling popular digunakan ketika itu adalah MySpace. Dibangunkan pada Ogos 2003 oleh Brad Greenspan, Chris DeWolfe, Josh Berman dan Tom Anderson yang merupakan sekumpulan pekerja dari firma pemasaran eUniverse .

Di Malaysia, bagi mereka yang meminati muzik indie, MySpace umpama satu medium komunikasi utama yang menghubungkan antara satu sama lain.



Banyak band-band indie menggunakannya sebagai saluran perkongsian hasil seni mereka seperti Hujan, One Buck Short, Disagree, Bittersweet dan banyak lagi.

Selain terkenal dengan halaman yang menghidangkan muzik, menarik tentang MySpace ialah latarbelakang profil yang boleh diubah suai. Tidak seperti Facebook yang kita lihat sekarang ini,  susunatur imej di MySpace berlainan mengikut citarasa si empunya profil.

Tahun 2005 hingga 2008 boleh dikatakan sebagai zaman kegemilangan bagi MySpace. Pada tahun 2006, platform ini dicatatkan sebagai laman rangkaian sosial paling kerap dilawati dari seluruh dunia, bahkan jauh meninggalkan Google.


Tom Anderson(Pengasas Bersama Myspace), Kredit : Kimkurdu.com


Ketika berada dipuncak, News Corp membeli MySpace dengan nilai $580 juta pada tahun 2005 dan dua tahun berikutnya, nilai MySpace melonjak kepada $12 bilion.

Dibawah pengurusan yang baru, MySpace segera memulakan servis untuk mengaut keuntungan yang lebih melalui iklan yang membanjiri akaun pengguna. "Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari", strategi yang dilakukan pihak pengurusan mengundang kepada kejatuhan MySpace.

Tidak cukup dengan itu, MySpace juga mula kelihatan bosan kerana tiada naik taraf signifikan menyebabkan pengguna mula beralih arah kepada Facebook yang sedang meningkat naik ketika itu.

Pada 2008, Facebook berjaya memintas MySpace sebagai media sosial paling popular kerana ia menyediakan laman yang lebih kemas, ringkas serta mesra pengguna. Walaupun beberapa kali mencuba untuk memberi nafas baru kepada laman MySpace, syarikat masih gagal menandingi empayar baru yang dibina Mark Zuckerberg.

Kredit : Videoblocks


Tiga tahun berikutnya, MySpace dijual dengan nilai $35 juta kepada sebuah firma pengiklanan, Specific Media. Ia sekali dijual kepada Time Inc pada 2016 dengan tujuan mendapatkan data pengguna bagi tujuan pengiklanan.

Ramai yang beranggapan riwayat MySpace sudah berakhir, tetapi masih ada yang setia menggunakannya. Ia dilawati secara bulanan oleh 15 juta pengguna aktif pada 2016 yang lalu. Namun begitu, ia ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan Facebook yang memiliki 160 juta pengguna aktif yang melawat laman dalam masa sebulan.

Terkini, muka depan MySpace dihimpunkan dengan pelbagai berita-berita sensasi tentang dunia hiburan, sukan, makan dan lain-lain. Masih berpaksikan sebagai sebuah media sosial, pengguna MySpace masa kini digalakkan untuk berkongsi muzik, video, foto dan perkara-perkara seumpama dengannya.

Mungkin anda gemarkan muzik serta hiburan, MySpace mungkin tempatnya. Ada pernah gunakan MySpace suatu ketika dahulu? Mungkin juga sekarang? Mari kongsikan diruangan komen.