AnTuTu Umum Senarai Peranti Prestasi Terbaik Januari

Platform uji aras prestasi AnTuTu baru sahaja mengumumkan 10 peranti terbaik untuk bulan Januari tahun ini. Ia merupakan carta bulanan dan semestinya akan berubah jika ada model baharu yang lebih baik prestasinya. Untuk senarai pada bulan Januari ini, ia hampir sama seperti pada senarai bulan Disember tahun lalu.

3 teratas dipegang oleh jenama vivo, iaitu iQOO Neo 855 dan iQOO Pro 5G, model yang tidak diperkenalkan di Malaysia. Tempat ketiga dipegang oleh vivo NEX 3 5G manakala OnePlus 7T Pro dan 7T menduduki tempat ke-4 dan ke-5.

Secara keseluruhan, Snapdragon 855+ mendominasi carta 10 teratas untuk kelas flagship. Hanya terdapat 2 model sahaja yang menggunakan cip selain Snapdragon iaitu Kirin 990 5G yang dipakai oleh HONOR V30 Pro 5G dan Huawei Mate 30 Pro 5G.



Selain kelas flagship, AnTuTu juga menyenarai 10 peranti dengan prestasi terbaik kategori kelas pertengahan. Menariknya OPPO Reno3 5G jauh di hadapan mengalahkan peranti lain dengan menggunakan cip MediaTek Dimensity 1000.



Yang lagi menarik, peranti tersebut mengalahkan varian Pronya (OPPO Reno3 Pro 5G) yang menggunakan cip Snapdragon 765G pada tempat ke-4. Untuk kelas pertengahan terdapat lebih banyak variasi cip selain yang dinyatakan iaitu Exynos 980, Kirin 810, Helio G90T, dan yang terakhir Snapdragon 730G.

Untuk bulan Februari nanti, pastinya carta akan jauh berbeza dengan kehadiran peranti yang gunakan cip Snapdragon 865 kelak.

Sumber: AnTuTu