Antutu Senaraikan 10 Peranti Berprestasi Terbaik Bagi November 2019

Platform penanda aras bagi telefon pintar, Antutu akan mengeluarkan senarai peranti yang memberikan prestasi terbaik bagi setiap bulan. Penyenaraian ini dibuat adalah berdasarkan data yang dikumpul antara 1 November sehingga 30 November 2019. Untuk makluman, markah yang dipaparkan merupakan purata daripada sekurang-kurangnya 1000 unit peranti yang menjalankan ujian Antutu V8.

Bagi kelas atasan, peranti yang memfokuskan permainan ASUS ROG Phone 2 mengetuai senarai dengan skor purata 496,662. Ia kemudiannya diikuti oleh OnePlus 7T ditangga kedua dengan purata 482,881 serta diikuti versi Pro yang memperoleh skor 482,532.

antutu flagship

Berada di tempat keempat adalah realme X2 Pro yang merupakan peranti pertama paling berkuasa pernah ditawarkan pengeluar berkenaan. Jika diteliti, OnePlus mendominasi carta ini dengan empat model; 7T, 7T Pro, 7 Pro dan 7.

Beralih kepada kelas pertengahan, mendahului senarai adalah Redmi Note 8 Pro yang dikuasakan dengan cip MediaTek Helio G90T. Ia merupakan peranti pertama dipasarkan dengan cip berkenaan dan menyasarkan kepada pengguna yang tegar bermain permainan mudah alih.

antutu midrange

Mengikuti dibawahnya adalah OPPO Reno2 yang menggunapakai cip Snapdragon 730G dan berjaya merekod skor purata 260,650. Tempat ketiga pula diberikan kepada Mi 9T dengan skor purata 251,491 yang tampil dengan cip Snapdragon 730. Qualcomm sebelum ini ada menyatakan Snapdragon 730G 15% lebih pantas berbanding Snapdragon 730 dalam GPU rendering melalui intergrasi Adreno 618 yang dipertingkatkan.

Antutu turut menjangkakan perubahan pada senarai bulan Disember dimana peranti dwi mod 5G yang dikuasakan cip dari Samsung, Qualcomm dan MediaTek akan mula dipasarkan.

Sumber: Antutu