Antara Ciri-Ciri Menarik Yang Sedang Diuji Pada WhatsApp Versi Beta

Berstatus sebagai aplikasi pemesejan segera paling popular, pastinya WhatsApp ingin meningkatkan lagi ciri serta fungsi mereka.

Menerusi kemaskini untuk Program Beta Google Play, WhatsApp untuk Android versi Beta dilaporkan mula memperlihatkan ciri seperti mod gelap, dan kiraan bagi mesej yang dipanjangkan ke pengguna lain (forward message).

Untuk makluman, ciri-ciri dibawah ini masih lagi dalam peringkat ujian beta dan masih belum dapat dipastikan bilakah versi stabil akan ditawarkan kepada umum.

Kiraan mesej yang dipanjangkan

Pada versi beta 2.19.80, ciri Forwarding Info telah diuji yang mana ia akan memaparkan jumlah mesej yang dipanjangkan. Untuk melihatnya, pengguna perlu menghantar mesej yang diterima itu kepada pengguna lain dan seterusnya semak kiraan pada bahagian Message Info.



Selain itu, terdapat juga label Frequently Forwarded ditunjukkan pada mesej perbualan. Mesej yang dipanjangkan sebanyak 5 kali atau lebih akan ditanda dengan Frequently Forwarded.



Mod gelap

Ciri yang ditunggu-tunggu kebanyakkan pengguna, Dark Mode, dikatakan sedang diuji pada versi beta 2.19.82.

Terdahulu, pada kemaskini beta 2.19.47, WhatsApp telah mereka semula antaramuka bahagian tetapan bertujuan untuk menyesuaikannya pada penggunaan mod gelap.

Difahamkan mod gelap untuk ruang perbualan akan didatangkan pada kemaskini beta akan datang.



Antaramuka untuk tetapan imbasan cap jari

Pada awal tahun ini, WhatsApp dilaporkan sedang membangunkan ciri nyahkunci aplikasi menggunakan imbasan cap jari secara terbina dalam sistem.

Penambahbaikan diberikan pada antaramuka untuk ciri pengesahan didalam versi beta 2.19.83. Seperti yang boleh dilihat pada imej, pengguna diberikan pilihan mengunci aplikasi WhatsApp mengikut tempoh masa yang dimahukan dan menyahkuncinya menggunakan imbasan cap jari.



 

Ciri PiP ditambahbaik dan mesej suara dimainkan berturut-turut secara automatik.

Antara ciri yang dimuatkan dalam versi beta 2.19.86 adalah memainkan mesej suara berturut-turut secara automatik. Ini bermakna, sekiranya pengguna mendapat dua atau lebih mesej suara, aplikasi akan memainkan kesemuanya tanpa perlu menekan butang play untuk setiap mesej yang diterima.



Satu lagi ciri yang dipertingkatkan pada versi beta ini adalah Picture-in-Picture. Ciri PIP yang sedia ada hanya memainkan video dalam ruangan perbualan sahaja, sementara versi beta ini membolehkan tetingkap PIP berfungsi walaupun diluar aplikasi.



Inilah antara ciri menarik yang sedang diuji WhatsApp dan sekali lagi dinyatakan, penawaran kepada umum belum dapat dipastikan lagi. Adakah anda pengguna WhatsApp? Ciri mana yang anda tunggu?

Sumber: WABetaInfo