Android 11 Untuk TV Diumumkan - Menawarkan Beberapa Ciri Baharu Termasuk Peningkatan Prestasi

Baru-baru ini Google baru sahaja mengumumkan Android 11 untuk telefon pintar. Hari ini mereka telah memperkenalkan Android 11 untuk TV pula.

Untuk pengetahuan, Android TV merupakan sistem operasi pada TV yang digunakan pada jenama seperti HiSense, Sharp, dan Phillips. Selain itu, ia juga digunakan sebagai sistem operasi untuk Android Box.

Dengan Android TV 11, ia membawakan beberapa penambahbaikan baharu seperti peningkatan prestasi, penambah baikan privasi, dan beberapa ciri lain.

Ciri-Ciri Utama Dari Android 11


Sejumlah ciri yang telah diumumkan untuk telefon pintar Android 11 turut sama dibawa ke TV.

Android TV 11 membawakan peningkatan prestasi dari segi pengurusan memori. Selain itu, ciri privasi seperti one-time permission turut diperkenalkan untuk memastikan TV lebih selamat digunakan.

Ciri Khusus TV


Android TV 11 mengkhususkan ciri media seperti mod Auto Low Latency, Tuner Framework dengan sokongan Media CAS, serta sokongan HAL untuk HDMI CEC. Secara ringkasnya, TV selepas ini lebih pantas terutamanya jika digunakan untuk bermain permainan video dan juga aplikasi Android.

Selain itu, kemaskini sistem operasi terbaharu ini juga membawakan sokongan kawalan pad permainan, mod hidup semula senyap untuk kemaskini sistem, pemberitahuan jika tidak menonton dan lain-lain.

Keseluruhannya, kawalan TV pada Android TV akan lebih meluas lagi.

Ciri Untuk Pembangun/Penguji


Ciri ini lebih ditujukan untuk penguji dan pembangun Android TV. Kini ia menyokong test harness mode dalam Android TV Emulator untuk memudahkan pemantauan aplikasi yang dibangunkan.

Android 11 untuk TV akan dilepaskan kepada TV-TV yang menyokongnya secara rasmi dalam bulan-bulan yang mendatang. Antara jenama yang menggunakan Android TV termasuklah Sony, HiSense, Skyworth, Philips, Sharp dan lain-lain.

Sumber: Android Developers