Android 10 Catat Kadar Penggunaan Paling Pantas Berbanding Sistem Terdahulu

Setiap tahun, peranti pintar Android akan diberikan kemaskini utama yang menyajikan naik taraf kepada sistem operasi terbaharu. Namun sebelum ini, ada sebahagian pemilik telefon pintar yang terpaksa menunggu sedikit lama untuk menikmati naik taraf tersebut.

Kini pada Android 10, Google menyatakan perkara itu menunjukkan tanda-tanda positif dimana sistem berkenaan sudah dioperasikan pada lebih 100 juta peranti dalam hanya tempoh 5 bulan selepas ia diperkenalkan pada September 2019.



Pengadaptasian Android 10 adalah paling pantas iaitu kira-kira 28% peningkatan berbanding Android Pie. Salah satu faktor yang meningkatkan kadar adaptasi ini adalah melalui Project Treble dan Project Mainline, dimana ia memudahkan pengeluar peranti menyediakan kemaskini terbaharu.

Walaupun begitu, Google dilihat tidak menyertakan peratusan peranti yang menjalankan Android 10 berbanding sistem Android lain. Ia mungkin lebih rendah berbanding iPhone dengan iOS 13 yang kini mencecah 81% penggunaan.

Ini juga bukanlah perkara yang menghairankan kita semua kerana Apple hanya perlu fokus kepada barisan iPhone-nya sahaja, berbanding Android yang ditawarkan oleh pelbagai pengeluar.

Sumber: Android Developers