Anda Mungkin Patut Lupakan Sahaja iPhone 11

Sebaliknya kumpul duit, tunggu iPhone 12 pada tahun hadapan yang jauh lebih menarik.


Menurut laporan terbaru berkenaan ura-ura Apple iPhone 11 yang akan diperkenalkan tahun ini, Apple dikatakan masih akan mengekalkan iPhone 2019 tersebut dengan sambungan Lightning.

Ini pastinya berita yang tidak menarik kepada para peminat iPhone yang amat menanti-nantikan Apple memuatkan sambungan yang lebih moden pada peranti tersebut iaitu sambungan USB-C seperti yang telah banyak diaplikasikan pada model-model telefon pintar Android ketika ini.

Kapsyen: Bermula dari model iPad Pro 2018 (11" dan 12.9"), Apple melengkapi 2 peranti ini dengan sambungan USB-C.


Ura-ura ini timbul apabila disebarkan oleh beberapa pihak yang mendakwa telah melihat sendiri model iPhone 11. Tidak setakat itu, sebanyak 3 model iPhone 11 dijangka akan diperkenalkan Apple nanti yang mungkin dibuat dalam acara khas mereka yang akan berlangsung dalam bulan September akan datang.

Masih skrin takuk dan tiada 5G 


Selain itu, Apple juga dilaporkan masih akan mengekalkan rekaan takuk pada skrin iPhone tersebut, berdasarkan terdedahnya rekaan skematik CAD peranti itu tidak lama dulu.

Kapsyen: Reka bentuk iPhone 11 yang terdedah dari skematik CAD. Kredit: 9TO5Mac


Kebanyakkan pengeluar telefon pintar Android sudah tidak lagi mengaplikasikan rekaan skrin takuk pada peranti keluaran mereka. Jika Apple masih mengekalkan rekaan ini, ia sesuatu yang amat mendukacitakan para peminat mereka.

Tidak setakat itu, rekaan 3 kamera belakang yang dijangka akan dimuatkan ke dalam iPhone 11 juga sejujurnya adalah amat hodoh.

Kapsyen: Tak tahulah pula jika anda rasa ia adalah rekaan yang menarik.


Tambah mengecewakan, Apple juga kemungkinan besar turut tidak akan memuatkan sokongan sambungan 5G pada iPhone 11.

Walhal pengeluar-pengeluar telefon pintar Android kebanyakkannya sudah pun memuatkan sokongan teknologi 5G pada model-model premium telefon pintar mereka.

Maka, kepada para peminat iPhone, khususnya terhadap mereka yang bercadang untuk memiliki iPhone 11, anda mungkin ada baiknya lupakan dahulu iPhone 2019 ini.

Ini kerana ura-ura iPhone 12 yang akan hadir pada tahun 2020 nanti adalah lebih menarik.

iPhone 12 lebih menarik...


Antara ura-ura awal bagi iPhone 12 yang sudah pun hangat diperkatakan adalah Apple akan melakukan perubahan pada keseluruhan rekaan iPhone tersebut.

iPhone 12 dijangkakan tidak lagi menggunakan rekaan skrin takuk, dilengkapi skrin OLED dengan 120Hz yang Apple panggilnya sebagai ProMotion (sepertimana yang digunakan pada iPad Pro), teknologi imbasan jari pada keseluruhan skrin serta cip pemprosesan 5nm yang menyokong sambungan pantas tanpa wayarr 5G.

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan adalah, seperti biasa Apple pada setiap tahun akan perkenalkan iPhone yang lebih berkuasa. Termasuklah model iPhone 11 yang akan diperkenalkan Apple tahun ini.

Itu memang antara perkara yang akan difokuskan dan menjadi subjek utama bagi Apple memasarkan produk mereka itu nanti.

Beberapa kemas kini terhadap teknologi kamera, Taptic Engine (ura-ura mengatakan Apple akan menaik taraf perkakasan ini kepada leap haptics) dan cip pemprosesan 7nm A13 Bionic yang berkuasa bakal menjadi daya penarik utama kepada peminat iPhone.

Namun begitu, apa yang menjadi lebih keutamaan kepada pengguna secara keseluruhan sebenarnya adalah terhadap reka bentuk, spesifikasi yang ditawarkan serta harga yang munasabah.

Berkaitan