Anda Kini Boleh Baca Majalah Gila-Gila Dari Telefon Pintar

Pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu, majalah humor popular tempatan, Gila-Gila, kini tiba untuk bacaan peminatnya dalam bentuk digital.



Ditawarkan menerusi platform digital GG Komiks, majalah terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd, kini sudah menjangkau usia 41 tahun setelah pertama kali diterbitkan pada 1978.

Memetik laporan Bernama, Aplikasi GG Komiks telah dilancarkan semalam oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gila-Gila Digital, Syafeeq Rahman Jaafar dan turut dihadiri empat pengasas awal yang juga kartunis  Datuk Azman Yusof, Sariman Mior Hassan, Jaafar Taib dan Zainal Buang Hussein.

Buat permulaan, aplikasi GG Komiks disediakan dengan lebih kurang 20 naskah awal majalah Gila-Gila dan selanjutnya akan ditambah dengan satu isu setiap minggu.

Bagi anda peminat tegar yang mahu mengimbau kembali kenangan membaca majalah Gila-Gila boleh muat turun aplikasi tersebut dari Google Play Store untuk Android atau App Store untuk pengguna iOS.

Muat turun dari Google Play Store, muat turun dari App Store

Sumber: Bernama