Anda Guna Aplikasi Papan Kekunci ai.type? Sila Buangnya Dari Peranti Anda

Saban minggu ada sahaja laporan mengenai aplikasi diselitkan dengan kod perisian hasad yang disasarkan kepada pengguna sama ada untuk menjana keuntungan menerusi iklan mahupun mencuri data penting.

Kini satu lagi aplikasi dikenal pasti membawa masalah yang sama adalah aplikasi papan kekunci emoji, ai.type. Aplikasi ini difahamkan sudah dimuat turun lebih dari 40 juta kali dari Google Play Store dan berjaya mengaut belasan juta dolar hasil dari pembelian kandungan digital premium tanpa pengetahuan pengguna.

Menurut penyelidik dari Secure-D, ai.type berkebolehan untuk mengedarkan iklan-iklan yang tidak kelihatan, klik palsu tetapi dalam masa yang sama memberikan data pengguna yang sebenar bagi ulasan, klik dan lain-lain.

Penyelidik turut menyatakan bahawa komponen yang bertanggungjawab untuk caj palsu itu bukan pada aplikasi itu sendiri tetapi sebaliknya pada rangka SDK (Software Developement Kits) yang disekalikan pada aplikasi berkenaan. Ia seterusnya mengaktif serta melakukan klik iklan bagi mendaftar pengguna pada perkhidmatan premium, sekaligus menjana trafik palsu bagi mengumpul komisen.

Google sudah membuang ai.type daripada gedung muat turun PlayStore pada Jun lepas namun ia dikatakan masih ditawarkan pada platform muat turun aplikasi Android yang lain.

Aktiviti meragukan ekoran dari penggunaan ai.type ini sudah direkodkan pada 13 negara dengan Brazil dan Mesir yang tertinggi.

Dua tahun lalu, laman XDA-Developers juga ada melaporkan ai.type terbabit dengan isu kebocoran data membabitkan 31 juta pengguna yang didakwa berpunca daripada pangkalan data dalam talian mereka tidak dilindungi dengan kata laluan.

Jadi sekiranya papan kekunci emoji ini ada pada peranti anda, bolehlah nyahpasang dalam kadar segera.

Sumber: Secure-D