Anda Dinasihatkan Supaya Berhati-Hati Dalam Membeli Bekalan Perubatan Dalam Talian

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini sudah memasuki hari ketiga setelah dikuatkuasakan bermula Rabu lalu. Menerusi penguatkuasaan ini, rakyat Malaysia dilarang untuk keluar tanpa urusan kecuali bagi mereka yang terlibat dengan perkhidmatan penting.

Kita boleh menjangkakan aktiviti pembelian barangan dalam talian akan meningkat dalam tempoh PKP ini berlangsung. Terdahulu, Agensi Polis Antarabangsa (INTERPOL) ada mengeluarkan peringatan supaya orang ramai berhati-hati dalam membuat pembelian bekalan perubatan dalam talian.

Hal ini kerana, terdapatnya pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ketika situasi Covid 19 sedang melanda dengan melakukan penipuan penjualan ubat secara dalam talian. Ia dibuat menerusi akaun media sosial serta laman e-dagang yang palsu. Setakat minggu lepas, INTERPOL menyatakan terdapat 30 kes penipuan dalam pembelian bekalan ubat di Asia dan Eropah.

Paras harga jualannya juga diletakkan lebih tinggi daripada biasa dan selepas pembayaran dibuat, barangan yang dibeli itu tidakpun dihantar kepada pembeli. Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya meneliti akaun media sosial atau laman e-dagang terlebih dahulu, sama ada ia benar-benar sah atau meragukan.

Bagi rakyat Malaysia yang mahu dapatkan bekalan perubatan, bolehlah berkunjung ke klinik dan farmasi kerana ia merupakan salah satu perkhidmatan penting yang dibenarkan berjalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

Sumber: Interpol via PDRM