Amerika Rancang Bina Internet Kuantum Untuk Wujudkan Rangkaian Kalis Godam

Jabatan Tenaga Amerika Syarikat hari ini telah membentangkan satu laporan rangka tindakan untuk pembangunan internet kuantum nasional.

Untuk menjelaskan apakah itu internet kuantum adalah merupakan sesuatu yang sangat teknikal. Namun, pendek kata ia merupakan satu rangkaian sistem komputer kuantum yang menggunakan signal kuantum untuk menghantar maklumat.

Antara kelebihan internet secara kuantum ini adalah ia menyukarkan maklumat untuk 'dicuri dengar' oleh mana-mana pihak. Disebabkan itu, ia dikatakan hampir mustahil untuk digodam.

Buat masa ini antara bidang industri yang boleh mengaplikasikan internet kuantum ini adalah seperti perbankan, kesihatan, ataupun keselamatan negara.

Antara aplikasi lain adalah membolehkan para jurutera memantau dan meramal gempa bumi ataupun mencari lubuk minyak, gas, ataupun mineral baharu.

Secara teorinya terlalu banyak yang boleh dilakukan namun ia masih berada dalam fasa penerokaan dan memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan.

Saintis di A.S menjangkakan prototaip untuk rangkaian internet kuantum ini bakal siap dalam masa 12 tahun lagi. Buat masa ini, ia masih berada pada tahap awal pembangunan lagi.

Untuk membina internet kuantum, ia memerlukan komputer kuantum. Google merupakan antara syarikat yang berjaya membina adikomputer kuantum dinamakan Sycamore pada hujung tahun lepas.

Kapsyen: Sycamore, komputer kuantum dari Google.


Jadi, untuk membina satu rangkaian kuantum internet, sudah tentu ia memerlukan lebih banyak komputer seperti ini.

Pada masa akan datang, mungkin kita akan melihat lebih banyak adikomputer yang akan dibina untuk merealisasikan impian negara A.S ini.

Sumber: Jabatan Tenaga AS