AMD Umum Kad Grafik Radeon 5600 XT Untuk Melawan Dominasi Gaming 1080p GTX 1060 Nvidia

Bermain pada resolusi 1080p boleh diibaratkan sebagai sweet spot untuk kebanyakan gamer. Ini dibuktikan daripada tinjauan kad grafik Steam yang menunjukkan GTX 1060 mendominasi senarai. Untuk makluman, GTX 1060 dari Nvidia merupakan kad grafik yang paling berbaloi jika anda mahukan pengalaman gaming 1080p yang terbaik.

Kapsyen: Kad grafik GTX 1060 yang mendominasi pilihan kad grafik gamers. Sumber - Steam


Kad grafik ini sebenarnya sudah berusia 3 tahun, sekali lagi membuktikan resolusi tersebut pilihan ramai gamer, baik dari segi kos dan juga pengalaman bermain.

AMD juga ada menawarkan kad grafik untuk demografik sama (1080p) dengan Radeon 5500 XT. Namun, ia kurang berkuasa dan fps tidak akan melebihi 60 untuk tetapan permainan tertinggi.

Jadi, pada CES 2020 baru-baru ini, AMD mengumumkan kad grafik khas untuk menyerang dominasi GTX 1060 iaitu Radeon 5600 XT. Berbanding generasi sebelumnya, RX 590, prestasi dipertingkatkan sehingga 42% dan penjimatan tenaga sehingga 33%.

Bukan itu sahaja, AMD mendakwa kad grafik terbaru mereka ini secara purata 20% lebih berkuasa untuk permainan AAA dan 10% pada permainan esports. Kad ini juga menggunakan senibina RDNA "Navi" 7nm yang baru sepertimana kad grafik siri 5000 Radeon yang lain.



Tahu tak apa lagi yang menarik? Kad grafik ini dijual pada 279USD (~RM1,137). Harga ini juga merupakan harga jualan GTX 1660 Ti. Dan berdasarkan ujian ukur aras oleh AMD, RX 5600 XT berjaya mengalahkan prestasinya.



Bukan sahaja AMD mahu merebut gelaran kad grafik popular untuk pasaran gamer 1080p, kad ini juga menawarkan prestasi lebih baik berbanding GTX 1660 Ti (jika mengikut dakwaan AMD).

Mengenai spesifikasi RX 5600 XT, secara asasnya ia merupakan versi kurang kuasa kad grafik RX 5700 dengan memori lebih rendah. Kelajuan asas adalah pada 1375MHz dengan maksimum sehingga 1560MHz. Ia juga menggunakan RAM 6GB dengan DRR6 yang lebih pantas.

Bersama-sama dengan Radeon 5600 XT, AMD turut menawarkan Radeon RX 5600M iaitu versi mudah alih yang sesuai jika dipadankan dalam laptop dengan cip Ryzen 4000 mereka.

Kad grafik Radeon 5600 XT dilihat akan menggantikan dominasi GTX 1060 untuk sekian lamanya. Dan pada masa yang sama merupakan pembelian yang lebih berbaloi berbanding GTX 1660 Ti disebabkan harga jualan yang sama.

Jika anda inginkan pengalaman gaming pada 1080p yang berbaloi, anda boleh tunggu penjualan kad ini yang akan berada dalam pasaran bermula 21 Januari ini di seluruh dunia.

Sumber: AMD