Amazfit X Dengan Skrin HD Melengkung Hadir Pada Tahun 2020

Huami sedia mengumumkan peranti boleh pakai mereka beberapa hari lepas, Amazfit GTS dan Amazfit Sports Watch 3. Tidak ketinggalan juga model konsep, Amazfit X, sebuah jam yang hadir dengan skrin melengkung fleksibel 92° beresolusi HD 326ppi.

Pengasas kepada Huami, Mr. Wang Huang menjelaskan bahawa rupa produk ini mempunyai beberapa spesifikasi teknikal yang menarik seperti skrin melengkungnya yang telah diuji dan berjaya menunjukkan 100% penepuan warna NTSC dengan kecerahan 430 nit. Skrin resolusi HD 326ppi ini juga datang dengan bateri litium melengkung.



Penjejak kecergasan ini tidak tersedia dengan apa-apa butang fizikal demi penghasilan bentuk badannya yang licin. Namun sebaliknya, Amazfit X dilengkapi dengan butang sensitif tekanan tersembunyi yang bertindak balas menerusi sentuhan pengguna.

Hadir dengan bateri peranti 220mAh, ia dikatakan mampu bertahan sehingga kira-kira 7 hari tetapi jangka hayat ini berbeza dan bergantung pada penggunaanya.



Reka bentuk lengkung Amazfit X juga dinyatakan selesa dipakai oleh pengguna selain skrin paparannya lebih besar. Pengalaman ini juga akan hadir dengan pelbagai fungsi yang menarik pada masa hadapan apabila produk ini akan dilancarkan pada tahun 2020.

Adakah anda pengguna penjejak kecergasan dan apa jenama yang sedang digunakan? Berminat untuk bertukar kepada Amazfit X jika ia ditawarkan kelak?