Amazfit T-Rex Dilancarkan - Jam Pintar Tahan Lasak Pada Harga Berpatutan

Ia seakan jam tahan lasak G-Shock yang mempunyai fungsi sebuah jam pintar dengan harga yang rendah. Boleh kata pakej jugalah kan. Itulah apa yang cuba diketengahkan oleh Huami melalui produk terbaharu mereka iaitu Amazfit T-Rex.



Mengambil inspirasi dari model popular G-Shock seperti GA-110, Amazfit T-Rex mempunyai pengiktirafan tahan lasak MIL-STD-810G. Jam ini juga kalis air sehingga 50m dan boleh dibawa bersama ketika berenang. Bezel di sekeliling skrin juga dinaikkan sedikit untuk melindungi paparan yang dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 3 dan lapisan anti-cap jari.

Untuk skrin jam, ia berukuran 1.3 inci AMOLED dengan resolusi 360 x 360 pixel. Jam ini kurang sesuai untuk dipakai pada tangan yang kecil memandangkan saiz kerangka agak besar pada 47mm. Untuk tali jam, ia menggunakan 22mm silikon dan boleh diregang.



Amazfit menggunakan perisian mereka sendiri untuk T-Rex, bukannya Wear OS dari Google. Bateri jam adalah bersaiz 390mAh dengan ketahanan bateri sehingga 20 hari untuk penggunaan bersama-sama telefon. Manakala jika tanpa menyambungkannya kepada telefon, ia mampu bertahan sehingga 66 hari.

Untuk mengecas, Huami menyertakan fungsi magnet melalui 2 pin pogo. Selain itu, ia juga menyokong Bluetooth 5.0 dan juga dwi-GPS. Melalui penggunaan GPS yang berterusan, ia hanya mampu bertahan selama 20 jam sahaja.

Terdapat 5 pilihan warna jam - Gun Grey, Rock Black, Camo Green, Khaki, dan Army Green.



Di China, Amazfit T-Rex dijual pada harga CNY 799 (~RM470).

Sumber: Amazfit