Alibaba Menawarkan Teknologi New Retail Pada Kedai Taobao Terbesar Di Malaysia

Alibaba Group baru-baru ini telah merasmikan pelancaran sebuah kedai Taobao yang terbesar di Malaysia. Taobao Store by Lumahgo itu telah pun dibuka di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur yang akan menawarkan pengalaman membeli-belah yang dipertingkatkan melalui teknologi New Retail.

Setiap langkah proses pembelian akan dipersembahkan melalui kombinasi kaedah digital dan fizikal yang menyatukan teknologi seperti pembayaran digital dan pemahaman pengguna. Menyatukan kedua-dua pengalaman online dan offline, pembeli di Taobao Store boleh membeli produk yang dipaparkan dengan mengimbas kod QR, mengambil barang di kedai atau pilih servis penghantaran, dan buat pembayaran secara terus melalui aplikasi.

Kedai Taobao ini turut menampilkan beberapa koleksi produk ekslusif dan komprehensif dalam pelbagai kategori, termasuklah barangan elektronik, kediaman, kecantikan serta barangan untuk kaum ibu dan anak.

Visi New Retail Alibaba ini turut menawarkan para pengunjung kedai tersebut dengan kemudahan unik seperti kafe, kawasan santai dan ruang taman permainan kanak-kanak. Pastinya kemudahan dan keselesaan buat pelanggan akan tetap diutamakan.



"Kedai Taobao ini akan berfungsi sebagai sebuah platform bagi mempamerkan produk popular yang menarik kepada pengguna tempatan dan berharap teknologi ini akan mewujudkan peluang baru bagi rakan tempatan kami untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik," jelas Jess Lew, Pengurus Pemasaran Tmall World Malaysia.

Pembeli di kedai ini boleh menikmati perkhidmatan sebelum dan selepas jualan, nasihat reka bentuk dan pemasangan, serta pelbagai lagi tawaran yang meningkatkan pengalaman membeli-belah buat mereka.

Taobao Store by Lumahgo akan menawarkan lebih daripada 1000 produk, dan ia dipilih berdasarkan keputusan pembeli tempatan dalam aplikasi membeli-belah Taobao yang melibatkan pelbagai jenama antarabangsa dan tempatan, termasuklah Lorenzo, KHIND, KitchenAid dan Deep Furniture.