Akhirnya Syarikat PUBG Saman Pengeluar ROS

Syarikat pembangun Playerunknown's Battlegrounds (PUBG), PUBG Corporation hari ini akhirnya telah bertindak memfailkan saman terhadap pembangun Rules of Survival (ROS) dan Knives Out, NetEase. Perkara ini adalah berkaitan dengan persamaan ketara yang terdapat dalam ROS dan juga Knives Out dengan permainan PUBG. Hal ini sebenarnya sudah lama dijangka oleh pemerhati serta pemain kedua-dua permainan video ini yang sebelum ini ada antara mereka yang berpendapat bahawa ROS dan Knives Out adalah permainan PUBG versi pelantar mobil.



Beberapa persamaan yang jelas dalam permainan keluaran NetEase dengan PUBG, antaranya ialah permainan akan dimulakan dengan 100 orang pemain akan terjun dari sebuah kapal terbang sebelum mendarat di sebuah pulau yang besar. Lebih teruk lagi , slogan 'Winner Winner Chicken Dinner' turut digunakan dalam kedua-dua permainan tersebut. Konsep senjata seperti senapang, topi keledar dan pakaian yang hampir serupa juga mengeruhkan lagi keadaan.



Dalam pada itu, terdapat banyak pihak yang mempersoalkan mengapa PUBG Corp. tidak mengambil tindakan terhadap pembangun permainan Fortnite Battle Royale, Epic Games walaupun terdapat juga beberapa persamaan antara permainan itu dengan PUBG. Bagi menjawab persoalan itu, PUBG Corp. berkata, walaupun Fortnite Battle Royale turut bermula dengan cara terjun dari udara serta bulatan kawasan bermain yang semakin mengecil, elemen-elemen lain seperti struktur peta serta reka bentuk bangunan adalah berbeza.



NetEase dilihat mengambil kesempatan atas populariti permainan PUBG serta kelewatan pihak PUBG Corp. untuk melancarkan permainan PUBG Mobile di peranti mudah alih dengan mengeluarkan dua permainan ini. PUBG Corp. dalam kenyataannya telah memaklumkan mereka telah menghantar laporan kepada Apple Inc. tentang kehadiran permainan keluaran NetEase ini dalam Apple Store pada 24 Januari dan pihak Apple telah memanjangkan laporan tersebut kepada pihak NetEase. Namun pada 31 Januari, pihak NetEase berkeras dengan menyatakan dua permainan mereka itu tidak melanggar hak cipta permainan PUBG.



Perkara tersebut dikatakan menjadi penyebab untuk PUBG Corp hilang sabar dan terus bertindak memfailkan saman tersebut. Dalam tuntutan saman ini, pihak PUBG telah menuntut bayaran pampasan dari pihak NetEase selain mahukan kedua-dua permainan mereka dikeluarkan dari pasaran. Kami sediakan beberapa keratan imej perbandingan anatara permainan PUBG dengan ROS serta Knives Out untuk penilaian anda.



Sumber