Akhirnya Spesifikasi Peranti OnePlus 6 Didedahkan

Majlis pelancaran peranti OnePlus kini hanya tinggal kurang dua minggu lagi. Peranti ini dijadual untuk dilancarkan pada 16 Mei di London dan 17 Mei di China. Namun, sebelum ini maklumat yang diketahui berkenaan spesifikasi peranti ini adalah minimal. Akan tetapi, pada hari ini, spesifikasi peranti ini telah pun didedahkan selepas memasuki senarai persijilan TENAA.



Dalam kiriman kami sebelum ini, kami ada menyatakan bahawa pihak OnePlus telah mendedahkan beberapa spesifikasi dan ciri yang ada pada OnePlus 6 secara berperingkat. Antara yang telah didedahkan adalah peranti ini akan menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 845 SoC serta penggunaan memori sebesar 8GB RAM. Selain itu, ciri seperti kalis air juga telah diumumkan lebih awal.

Tambahan pula, model edisi terhad Avengers juga akan dikeluarkan dan perkara telah disahkan oleh pihak OnePlus. Bagaimanapun, model ini hanya akan dilancarkan untuk pasaran India sahaja. Dari segi harga pula, kami pernah melaporkan bahawa peranti ini akan dijual pada harga RM 2,180 (~$555) untuk model 64GB dan RM 2,360 untuk model 128GB. Namun menurut laporan terkini, kemungkinan besar peranti ini akan ada pelbagai pilihan variasi termasuk model dengan 256GB ROM.



Menurut pendedahan terbaru yang diperolehi pula, peranti ini akan menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.28 inci FHD+ manakala dari segi bateri pula, ia akan hadir dengan bateri berkapasiti 3300 mAh. Selain daripada itu, peranti OnePlus 6 ini juga dilaporkan akan mempunyai dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 20MP lensa utama serta 16MP lensa kedua dan dikhabarkan akan menyokong fungsi gerak perlahan. Pada kamera hadapannya pula, ia akan menggunakan kamera dengan resolusi 16MP.



Kami menjangkakan lebih banyak maklumat akan didedahkan oleh pihak OnePlus sendiri pada majlis pelancaran yang akan diadakan di London dan China kelak. Sama-sama kita nantikan kehadiran peranti perdana terbaru dari OnePlus ini.

Sumber