AirAsia Perkenalkan Sistem Pengecaman Wajah Semasa Daftar Masuk Dan Menaiki Pesawat

Syarikat penerbangan tambang rendah negara ini, AirAsia Bhd telah melancarkan sistem keselamatan biometrik mereka yang bertujuan mengurangkan masa menunggu untuk penumpang semasa urusan pendaftaran dan menaiki pesawat.

Sistem yang dikenali sebagai F.A.C.E.S itu menggunakan teknologi pengecaman wajah dan telah mempunyai hampir 80% kadar kejayaan mengecam wajah penumpang mereka. F.A.C.E.S dijangka dapat mengurangkan masa memproses dokumen penumpang di antara 9 hingga 11 minit.



Buat masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah dipilih sebagai terminal pertama di Malaysia yang mempunyai sistem biometrik tersebut. Sistem itu walaubagaimanapun belum boleh memproses urusan pasport dan imigresen kerana fasa pertama projek ini bertumpu kepada urusan pendaftaran penerbangan dan juga proses menaiki pesawat.

Penumpang diminta untuk mendaftarkan maklumat peribadi mereka dan data tersebut akan disimpan sehingga tarikh luput dokumen mereka tamat. Selepas tarikh luput, penumpang harus mengulangi proses pendaftaran maklumat mereka sebelum dapat menggunakan F.A.C.E.S kembali.