Agensi KBS Baharu Untuk Memacu Hala Tuju Esukan Di Malaysia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam telah mengumumkan agensi baharu, Esports Integrated (ESI) untuk memacu hala tuju Esukan di Malaysia.

Ini merupakan satu inisiatif dari KBS yang dikuasakan Impact Integrated dengan mengadakan satu Pelan Esukan Nasional.



Menterinya, Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican mengatakan ESI akan menjadi pemangkin untuk memacu pembangunan Esukan yang sama seperti Majlis Sukan Negara.

Semasa pelancaran semalam, ESI menyatakan rancangan mereka iaitu akan memulakan persidangan Esukan tahunan pertamanya dan juga Kejohanan Esukan Malaysia yang masing-masing akan dijalankan pada bulan November ini.

ESI juga mendedahkan Hab Esukan rasmi milik KBS di Spacerubix, Puchong yang dijangka siap dibina menjelang 2021.

Hab tersebut akan menjadi pusat latihan amatur dan profesional, jurulatih serta pemain industri selain menjadi tempat kejohanan.

Melalui inisiatif ini, ESI dapat mengumpulkan pemain, penganjur, penaja dan pembangun permainan yang mampu menggiatkan pertumbuhan Esukan di Malaysia.

Tambahan, ESI juga turut bekerjasama dengan beberapa rakan kolaborasi termasuk Malaysia Electronic Sport Federation (MESF), Techninier, eGG Network, VC Media & Consultancy (VCMC) dan Geek Fam.