Adware, Berbahaya Atau Tidak?

Apa itu adware? Adakah ia menggugat privasi anda di internet?


Jika anda melayari mana-mana laman sesawang, anda akan dapati pada laman tersebut akan mengandungi iklan-klan. Iklan-klan yang dipaparkan pula terdiri daripada pelbagai kategori.

Iklan kereta, promosi, barangan bayi dan bermacam jenis iklan lagi yang diprogramkan mengikut minat pengguna internet. Pelikkan?

Iklan sememangnya adalah amat tidak asing kepada para pengguna internet. Ini kerana boleh dikatakan hampir setiap hari pengguna internet akan berdepan dengannya.

Jadi, apakah sebenarnya iklan-iklan tersebut?

Apa itu adware


Secara ringkasnya, iklan-iklan tersebut merupakan satu bentuk perisian kecil  sebahagian daripada perisian hasad (malware) yang dipanggil sebagai adware.

Fungsi utamanya adalah menayangkan iklan-iklan kepada pengguna internet, sama ada menerusi laman sesawang yang dilayari ataupun aplikasi-aplikasi yang dimuat turun ke dalam peranti anda.



Iklan-iklan yang dipaparkan pula adalah bergantung kepada minat seseorang pelayar internet. Jadi bagaimana ia boleh tahu minat-minat seseorang pengguna?

Adware mempunyai ciri memerhati dan mempelajari tingkah laku seseorang pengguna ketika mereka sedang melayari internet bagi menyasarkan iklan-iklan yang sesuai untuk dipaparkan pada individu tersebut.

Jelas di sini, adware direka secara khusus yang menjadikan ‘individu’ sebagai sasaran dengan satu tujuan utama iaitu untuk memaparkan iklan-iklan untuk muncul pada skrin peranti pintar atau komputer yang sedang individu tersebut gunakan.

Adakah adware merbahaya?


Pada dasarnya, adware sebenarnya adalah tidak merbahaya kepada sistem operasi peranti pintar dan komputer. Ia hanya sekadar menggangu kelancaran pengguna melayari laman sesawang.

Namun begitu, disebabkan oleh iklan-iklan yang dipaparkan itu, kelancaran atau kepantasan sesebuah laman sesawang akan menjadi perlahan, prestasi peranti dan komputer berkurangan, penggunaan data yang besar atau lebih buruk sehingga mampu mengganggu kestabilan sistem operasi komputer.

Lebih parah, adware akan mula menjadi amat merbahaya apabila di dalam iklan-iklan tersebut terkandungnya kod tersembunyi yang dimuatkan oleh pembangun adware tersebut dengan tujuan mengutip data dan maklumat privasi para pengguna internet tanpa mereka sedari dan menggunakan data-data tersebut bagi tujuan jahat.

Privasi pengguna amat rapuh


Isu keselamatan data dan privasi pengguna yang amat rapuh sebenarnya berpunca daripada sikap pengguna internet itu sendiri.

Ini kerana sebahagian besar dari kita amat pantas atau sangat mudah terpengaruh dan klik pada iklan-iklan yang timbul pada sesebuah laman sesawang atau aplikasi.

Sekaligus tanpa disedari tindakan mereka itu telah menyebabkan peranti atau komputer yang mereka gunakan secara automatik membuka pintu untuk adware merbahaya menjangkiti sistem operasi peranti tersebut.

Terdapat 2 metod utama yang menjadi penyebab kepada peranti  jangkiti adware:-

1. Memuat turun aplikasi percuma atau berkongsi fail menerusi aplikasi berasaskan perkongsian fail (P2P)

Aplikasi-aplikasi percuma (freeware) dan berkongsi fail menerusi aplikasi perkongsian fail (shareware) adalah salah satu metod popular yang sering digunakan bagi pembangun menjangkiti peranti atau komputer pengguna dengan adware mereka.

Ia bertujuan bagi menjana keuntungan menerusi iklan-iklan yang timbul dari aplikasi tersebut.

2. Laman sesawang

Melayari ke sebuah laman sesawang yang dijangkiti atau dicurigai juga boleh menyebabkan komputer anda dijangkiti adware.

Teknik yang dikenali sebagai perampas pelayar (Browser Hijackers) ini sering digunakan oleh penggodam yang mahir.

Mereka mengambil peluang daripada kelemahan ciri keselamatan pelayar sesawang dan menggunakan Trojan yang direka khusus untuk memasang adware secara diam-diam ke dalam komputer pengguna internet yang memasuki perangkap mereka.

Jadi, apabila komputer atau peranti tersebut telah berjaya dijangkiti, anda akan dapati lebih banyak paparan iklan yang tiada kena mengena dengan minat anda muncul di skrin.

Apabila diklik pada iklan itu pula, ia akan mula membawa anda ke laman muka yang meragukan. Dari situlah bermulanya aktiviti mencuri data pengguna oleh penggodam.

Kesimpulannya pihak yang menjangkiti peranti pintar atau komputer anda itu sebenarnya adalah diri anda sendiri.

Sejarah kemunculan adware


Adware sebenarnya mula menyerang komputer meja, tetapi lama-kelamaan dengan perkembangan pesat pembangunan teknologi peranti pintar, ia mula turut menyerang peranti-peranti pintar seperti telefon dan tablet.

Pada peringkat awalnya iaitu dalam tahun 1995, para pakar industri teknologi maklumat beranggapan bahawa perisian iklan atau perisian yang menyokong iklan dikategorikan sebagai perisian spyware.

Sedikit penerangan ringkas tentang spyware, ia juga adalah salah satu pecahan kecil daripada perisian hasad (malware).

Cara ia beroperasi juga adalah hampir sama dengan ciri-ciri adware iaiatu beroperasi disebalik tabir dan mengutip data dan informasi pengguna.

Cuma spyware beroperasi dengan lebih licik di mana ia mampu mengambil shot skrin, menceroboh pengesahan kelayakan, menceroboh alamat emel dan mencuri data penting pengguna seperti nombor kad kredit.

Berbalik kepada adware, tidak lama selepas kemunculan perisian iklan ini, pakar teknologi keselamatan mula mengasingkan terma adware dan spyware dengan menyatakan bahawa adware sebagai bentuk perisian PUP (potentially unwanted program) yang ‘kurang’ merbahaya kepada pengguna.

Ini kerana terdapat beribu syarikat yang membangunkan perisian adware bagi menyediakan servis pengiklanan di dalam laman sesawang, aplikasi dan lain-lain secara sah.

Menerusi servis adware tersebut, tapak-tapak laman sesawang sebagai contoh akan dapat menjana pendapatan mereka.

Walaubagaimanapun…


Sungguhpun adware dirujuk sebagai perisian hasad yang ‘kurang’ merbahaya, tetapi mutakhir ini wujudnya pembangun yang mula menjadikan adware sebagai platfom untuk mereka memuatkan kod perisian berniat jahat (malware) di dalamnya.

Sebagai contoh, kita boleh merujuk kepada kes pembangun adware yang dikenali sebagai InstallBrain antara tahun 2011 hingga 2013.

MEVADE/SEFNIT


Malware MEVADE/SEFNIT adalah satu bentuk perisian hasad yang berselindung disebalik adware yang dpanggil InstallBrain.

Ia dirujuk sebagai perisian berniat jahat yang menyediakan pautan klik palsu dan menjalankan perlombongan matawang digital Bitcoin.

Untuk beberapa lama iaitu sejak dari tahun 2011 sehingga 2013, ia secara diam-diam telah berjaya menyerang berjuta data pengguna menerusi aplikasi pelayar sesawang TOR.

Hinggalah pada Ogos 2013, barulah pihak industri pembangun sistem keselamatan internet dan sistem komputer berjaya mengesan malware yang bersembunyi disebalik adware ini.

Pihak Trend Micro telah melakukan siasatan terperinci sejak 2011 lagi dan berjaya mengenalpasti punca adware tersebut.

Hasil siasatan mereka mendapati, perisian hasad tersebut
amat berkemungkinan ditaja oleh sebuah syarikat pembangun adware yang beroperasi di Israel dan bekerjasama dengan kontraktor yang berasal dari negara Ukraine.

Kapsyen: Adware InstallBrain telah dikesan berada di 150 buah negara. Termasuklah Malaysia. Kredit imej: Trend Micro

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah pengguna internet kini tidak dapat melarikan diri mereka daripada berdepan dengan adware. Ini kerana adware berada di mana-mana sahaja. Kiri kanan atas belakang, ada sahaja adware.

Walaupun stor-stor aplikasi mudah alih seperti Google play Store dan App Store dilengkapi dengan ciri keselamatan bagi menghalang adware daripada ditawarkan kepada pengguna mereka, pembangun masih dapat menyelinap adware ke dalam aplikasi yang dibangunkan mereka.

Memang terdapat banyak program aplikasi percuma dan shareware kini akan berhenti memaparkan iklan sebaik sahaja anda telah mendaftar atau memuat turun aplikasi tersebut.

Namaun begitu, sesetengah pembangun menggunakan utiliti pihak ketiga terbina dalam di mana dalam sesetengah kes, utiliti ini boleh kekal dipasang pada komputer anda selepas anda telah mendaftar atau memuat turun sesebuah aplikasi ke dalam peranti.

Malah ada pembangun menetapkan, jika anda mengalih keluar komponen perisian iklan yang tersedia dipasang pada aplikasi tersebut, ia boleh menyebabkan aplikasi yang dimuat turun tidak berfungsi.

Atau jika anda menggunakan pemalam khas bagi menghalang iklan dari dipaparkan di laman sesawang yang dilayari, anda mungkin tidak dapat mengakses laman sesawang tersebut.

Akhir kata, sentiasalah berhati-hati ketika melayari internet.

Berkaitan