Adakah Razer Phone 3 Akan Hadir Dengan Rekaan Seperti Ini?

Pertama kali menembusi pasaran telefon pintar pada 2017, desas-desus mengenai generasi ketiga Razer Phone kini timbul sekali lagi. Baru-baru ini, dua imej telah dimuat naik pada laman Taobao yang didakwa sebagai prototaip kepada Razer Phone 3.

Tiada maklumat terperinci diperolehi daripada perkongsian tersebut. Melihat kepada rekaan, tidak banyak yang berubah daripada keluaran terdahulu dimana ia masih mengekalkan bentuk petak.



Cuma perbezaan jelas terlihat pada kedudukan susun atur lensa rakaman belakang yang diletakkan sebaris kebawah pada penjuru kiri. Jumlah lensa juga telah bertambah kepada tiga, dimana Razer Phone dan Razer Phone 2 hanya menawarkan dwi kamera belakang sahaja.

Panel hadapan juga masih mempunyai bezel atas dan bawah yang agak tebal. Tetapi jika dibandingkan dengan dua keluaran sebelum ini, ia nampak lebih kecil dan turut menempatkan dwi kamera hadapan.

Kesahihan mengenai dua imej diatas tidak dipastikan . Pada Februari tahun lalu, kedengaran khabar angin tiadanya pelancaran Razer Phone 3 untuk 2019 dan ia benar-benar berlaku. Namun untuk 2020, adakah Razer akan kembali lagi bersaing dipasaran yang bakal menemukannya dengan dua lagi peranti iaitu ROG Phone 3 dan Lenovo Legion Phone? Ia sesuatu yang menarik untuk dinantikan peminat peranti gaming.

Sumber: Taobao via XDA-Developers